PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan Madani mengambil serius isu pemikiran dan beberapa aliran yang menyimpang daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Justeru, beliau menuntut tindakan serius dan bersepadu oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi penguat kuasa bagi menyiasat serta membanteras kegiatan tersebut.
“Intiha, saya tegaskan bahawa Kerajaan Madani mengambil serius perkara sebegini yang menyentuh pegangan akidah dan syariat umat Islam di Malaysia.
“Moga Allah melindungi kita dan negara ini daripada sebarang bahaya dan ancaman yang menyimpang dan boleh merosakkan pegangan sebenar akidah dan syariat kita,” katanya hari ini.
Sebelum itu Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi Jakim bagi membincangkan beberapa perkara terkait hal ehwal Islam di negara ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
Anwar berkata, platform tersebut penting mengambil kira perkembangan mutakhir khususnya mengenai prospek ekonomi dalam sektor halal di dalam dan luar negara, yang menagih kebersamaan antara agensi persekutuan bagi membantu merancakkan lagi industri halal Malaysia.
Semalam, pakar perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz menggesa jabatan agama Islam bertindak tegas secara bersama berhubung isu Global Ikhwan Service & Business Holdings (GISBH) dan tidak hanya berpeluk tubuh sambil menyerah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata.
Beliau berkata, ini kerana isu akidah umat Islam dan hal berkaitan dengannya terutama menjaga nama baik Islam secara umum perlu kekal di bawah tanggungjawab pihak berkuasa agama.
“Jangan lepas tangan kepada PDRM semata-mata. Buat apa kita ada penguasa agama kalau semuanya mahu diserahkan amanah dan tanggungjawab berkenaan akidah atau hal berkaitannya kepada PDRM atau pihak berkuasa lain,” katanya. – Edisi 9