KETUA jurulatih bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon membuat keputusan meletakkan jawatannya berkuat kuasa serta-merta atas alasan komitmen peribadi.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi ketika mengumumkan perkara itu berkata, kekosongan tersebut akan diisi oleh penolong ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente.
Jurulatih dari Sepanyol itu akan memangku tugas sebagai ketua jurulatih kebangsaan sambil dibantu seorang lagi penolong ketua jurulatih kebangsaan, E. Elavarasan.
Yusoff berkata, jurulatih dari Korea Selatan itu telah berjumpa dengan pihak pengurusan FAM bagi menyatakan hasrat beliau memendekkan tempoh kontraknya.
Beliau berkata, ia kemudian disusuli dengan beberapa perjumpaan selepas itu yang mana FAM cuba memujuk Pan Gon agar mempertimbangkan semula hasratnya.
Bagaimanapun katanya, pihak pengurusan dan Jawatankuasa Eksekutif FAM menghormati keputusan tersebut dan bersetuju melepaskan Pan Gon dengan persetujuan bersama walaupun tempoh kontrak berakhir Disember 2025.
“Sudah tentu ini satu berita sedih dan duka untuk kita semua kerana Pan Gon telah berjaya membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023, selain ranking FIFA kita juga meningkat naik di sepanjang dua tahun setengah beliau membimbing pasukan kebangsaan. Kita amat berasa kehilangan beliau,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram; Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman; Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dan Pan Gon sendiri.
Yusoff berkata, staf-staf kejurulatihan lain iaitu penolong jurulatih, Park Bobae; jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun akan terus kekal berdasarkan kontrak masing-masing.
“Sudah pasti tugasan pertama Pau Marti ialah untuk mengemudi pasukan bagi pertandingan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada September ini dengan disertai tiga pasukan lain iaitu Tajikistan, Lebanon dan Filipina,” katanya.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-pasukan Kebangsaan FAM akan terus menilai dan memantau prestasi skuad Harimau Malaya dari semasa ke semasa di bawah kendalian Pau Marti.
Ini terutamanya menjelang kejohanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 yang akan berlangsung pada November dan Disember ini serta Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan. – Edisi 9

