27.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 21, 2024

Peruntukan Exco luar bandar dinaikkan kepada RM750,000

Mesti Baca

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan pembangunan kepada Exco Luar Bandar dinaikkan kepada RM750,000 berbanding RM500,000 sebelum ini.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar berkata, peningkatan peruntukan itu bagi memastikan penduduk luar bandar sentiasa mendapat manfaat daripada program-program yang telah dirancang oleh kerajaan.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan peruntukan sebanyak RM1.06 bilion diberikan bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk pembangunan di negeri itu.

Katanya, ia meliputi pelaksanaan 224 projek infrastruktur seperti jalan luar banda, jambatan luar bandar, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar dan projek kemajuan kawasan.

“Saya berharap MEXCLUB ini akan sentiasa menjadi platform perbincangan secara membina di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memperkukuh persefahaman dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar bagi mewujudkan komuniti desa yang mampan dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) kali pertama di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Advertisements

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Rubiah Wang.

Mesyuarat MEXCLUB pada kali ini mempunyai keahlian lebih besar kerana turut melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bencana dan Krisis Negara Malaysia (NADMA).

Zahid berkata, beliau telah meneliti secara mendalam kesemua empat kertas pembentangan yang dibentangkan di dalam mesyuarat tersebut iaitu, Kertas Hasil Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), Kertas Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Kertas Program Sejati Madani serta Kertas Pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2.

“Sebagai Menteri KKDW, saya telah menyatakan kepada seluruh ahli mesyuarat bahawa pembangunan luar bandar pada masa kini tidak seharusnya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur sahaja tetapi perlu mengambil kira perubahan minda dan sikap sebagai game changer di luar bandar.

“Untuk itu, saya akan memastikan kerjasama dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri sentiasa utuh dalam menjayakan agenda perancangan desa progresif,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Anwar terkesan, sedih dengan kematian Presiden Raisi

DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa terkesan dan sedih menerima laporan kemalangan helikopter yang membabitkan Presiden Iran, Ebrahim Raisi...

Lagi Artikel Berkaitan