33 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024

Bernas tanam padi pulut berskala besar di Langkawi

Mesti Baca

PADIBERAS Nasional Berhad (Bernas) melaksanakan projek penanaman padi pulut berskala besar membabitkan ladang sawah seluas 540 hektar di Langkawi, Kedah.

Projek penanaman padi pulut itu menggunakan kaedah Sawah Pintar Berskala Besar (Smart SBB) ala-Sekichan, Selangor dan memberi manfaat kepada 326 pesawah di pulau tersebut.

Bernas dalam satu kenyataan berkata, projek itu akan dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini sehingga 2028, dengan fasa pertama bermula pada Mei di atas tanah seluas lebih 14 hektar.

“Projek ini bermatlamat meningkatkan taraf sosio-ekonomi pesawah melalui pencapaian pulangan pendapatan lebih tinggi dan menambah hasil pengeluaran padi domestik dengan menggalakkan amalan terbaik dalam pengeluaran padi pulut,” kata kenyataan itu hari ini.

Dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu semalam, Projek Padi Pulut Langkawi Bernas ala-Sekichan itu selaras dengan komitmen Bernas untuk memastikan keterjaminan makanan negara.

Bernas berkata, inisiatif Smart SBB diperkenalkan kerajaan pada 2021 bertujuan meningkatkan kadar sara diri (SSR) negara bagi bekalan beras.

Advertisements

Katanya, penggunaan sistem pengurusan ladang bersepadu, mekanisasi dan integrasi IoT, seperti yang digariskan dalam pengenalan amalan berkenaan, akan membantu pesawah di Langkawi mengoptimumkan kualiti serta kuantiti hasil mereka, sekali gus menjana pulangan lebih tinggi.

“Inisiatif ini sejajar dengan dedikasi Bernas untuk meningkatkan taraf hidup komuniti pesawah tempatan,” katanya.

Projek tersebut turut mendapat sokongan Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Katanya, projek di Langkawi itu juga akan mempermudahkan penyertaan pesawah dalam program tersebut melalui bantuan wang pendahuluan untuk modal benih padi.

“Bernas akan meneruskan komitmen dan dedikasi ke arah mendukung agenda keterjaminan makanan negara.

“Syarikat akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta pihak berkepentingan industri yang lain, bagi meningkatkan kebajikan pesawah selain menjamin bekalan beras yang stabil dan mencukupi untuk semua rakyat Malaysia,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sejauh mana kebebasan universiti dimanfaatkan mahasiswa?

Oleh DR ABDUL MUQIT MUHAMAMMAD KEBEBASAN akademik merupakan roh yang menghidupkan masyarakat universiti. Tanpa kebebasan akademik, masyarakat universiti tidak akan...

Lagi Artikel Berkaitan