SERAMAI 165 tahanan warga asing dari dua depot imigresen di Kelantan dan Johor dihantar pulang ke negara asal masing-masing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Mereka terdiri daripada 136 tahanan dari Depot Imigresen Tanah Merah, Kelantan manakala 29 tahanan lagi dari Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian, Johor.
Pengarah Imigresen Kelantan, Mohd Faizal Shamsudin berkata, mereka terdiri daripada 119 tahanan lelaki, 13 tahanan wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.
Beliau berkata, kesemua mereka dihantar pulang ke lima destinasi iaitu Istanbul, Turkiye, Phnom Penh (Kemboja), Yangon (Myanmar), Ho Chi Minh City (Vietnam), Dhaka (Bangladesh) dan Delhi, India.
“Di antara kesalahan yang dilakukan oleh banduan asing ialah di bawah Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di JOHOR BAHRU, Depot Imigresen Pekan Nenas telah melaksanakan pemindahan ke atas 29 orang tahanan warganegara Bangladesh ke negara asal melalui KLIA.
Menurut Jabatan Imigresen Johor, pembiayaan tiket bagi penghantaran pulang mereka dibiayai sepenuhnya oleh pihak tahanan sendiri dan hasil bantuan daripada ahli keluarga tahanan masing- masing.
“Pemindahan kali ini diketuai oleh seorang Penyelia Kanan dan turut melibatkan seramai enam pegawai berlainan pangkat bagi tujuan iring kawal sepanjang pemindahan dilaksanakan.
“Pemindahan kali ini juga turut mendapat kerjasama daripada Peronda Lebuh Raya PDRM yang mengiringi perjalanan pemindahan bermula dari depot sehingga ke KLIA,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Jabatan itu berkata, penghantaran pulang tahanan dibuat setelah kesemua mereka selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan yang dilakukan termasuklah kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Program pemindahan tahanan ini merupakan aktiviti utama Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas yang dilakukan secara berterusan oleh JIM Negeri Johor dalam usaha untuk memastikan semua tahanan yang telah selesai menjalani hukuman segera dihantar pulang,” katanya. – Edisi 9

