27.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Zahid umum bantuan khas Aidilfitri kepada peneroka Felda

Mesti Baca

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas bersasar sebanyak RM300 kepada peneroka Felda yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.

Ahmad Zahid berkata, bantuan kepada setiap peneroka di 317 tanah rancangan Felda seluruh negara itu akan disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri.

Beliau turut mengumumkan peneroka berpendapatan RM1,000 ke bawah dan peneroka yang berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000 pula akan mendapat penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementeriannya juga telah meluluskan projek membina jalan dari Felda Trolak Selatan ke Pekan Trolak, Muallim, Perak pada tahun lepas dengan kos RM35 juta.

“Projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) ini sedang dalam peringkat rekabentuk dan dijangka ditender pada Oktober 2024.

“Skop projek ini adalah membina jalan sepanjang 2.3km dengan spesifikasi JKR R1. Agensi pelaksana projek ini adalah Jabatan Kerja Raya dan bakal memberi manfaat kepada penduduk di Felda Trolak dengan menjimatkan masa perjalanan ke pekan Trolak dari 30 minit kepada 10 minit sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Iftar Majlis Santunan Kasih Ramadan di MRSM Felda Trolak, di Trolak, Perak hari ini.

Advertisements

Hadir sama Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan penyerahan hasil kepada tiga koperasi Felda.

Pada majlis itu Ahmad Zahid turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM66,050 kepada 307 orang  anak yatim dan golongan asnaf  dari sekitar Trolak, termasuk pemberian duit raya kepada pelajar Maahad Tahfiz.

Sumbangan tersebut disalurkan oleh FGV Holdings Bhd berjumlah RM50,000; RM13,000 dari Waqaf Felda dan baki RM3,050 dari JKKR Gabungan Wilayah Trolak.

Yayasan Felda dan Felda Global Venture Holdings Berhad turut menjalankan tanggungjawab sosial (CSR) mengagihkan barangan kelengkapan persekolahan di setiap sekolah di kawasan tanah rancangan Felda menerusi program Kembali ke Sekolah.

Jumlah agihan tersebut melibatkan 270 buah sekolah kebangsaan termasuk 20 buah sekolah di Wilayah Trolak dengan jumlah 656 murid dengan peruntukan RM98,400.

Agihan itu juga akan diteruskan kepada 14,500 pelajar iaitu 11,500 semua pelajar tahun 1/2024 di seluruh sekolah di kawasan tanah rancangan FELDA dan 3,000 set diedarkan kepada warga Felda yang menetap di luar tanah rancangan (Lembah Klang, Shah Alam, Johor Bahru, Ipoh & Kuantan) dengan peruntukan RM2,175,000.  – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan