27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Tangguh pendaftaran PADU, selesai dahulu isu berbangkit – MBM

Mesti Baca

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) menggesa kerajaan menangguhkan pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kepada satu tarikh yang bersesuaian, sehingga beberapa isu berbangkit mengenainya diselesaikan.

Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, usaha pendaftaran sistem data raya tersebut tidak perlu tergesa-gesa kerana telah wujud beberapa integrasi data melalui pelbagai agensi kerajaan.

Beliau berkata, sejak dilancarkan pada Januari lalu, hanya 35.1 peratus atau hanya 7.7 juta pendaftaran sahaja direkodkan.

“Melihat kepada angka terkini, masih jauh untuk mencapai sasaran yang diletakkan kerajaan iaitu 29 juta penduduk menjelang 31 Mac yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.

“MBM melihat usaha pengintegrasian data secara berpusat ini merupakan satu inisiatif baik kerana ia dapat menjamin usaha ke arah pendigitalisasian sistem pentadbiran negara yang dapat melicinkan urusan pemberian subsidi dan bantuan secara bersasar dengan lebih berkesan.

MOHD IZZAT AFIFI ABD HAMID

“Namun, hakikatnya masih ramai tidak memahami dengan mendalam kepentingan sistem PADU ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Sehubungan itu, kata Mohd Izzat, kerajaan perlu bersifat lebih terbuka menerima cadangan untuk menangguhkan usaha pendaftaran PADU bagi memberi ruang kepada penjelasan kekaburan kepentingan sistem PADU dan beberapa persoalan besar.

Antaranya, kelemahan akta, keselamatan platform dan kekurangan program outreach pendaftaran yang ditimbulkan beberapa negeri seperti Perak, Sarawak dan terbaharu Sabah.

“Oleh itu, MBM berharap agar pelaksanaan pendaftaran PADU ini ditangguhkan penguatkuasaannya sekurang-kurangnya sehingga pada suku kedua atau ketiga tahun 2024 bagi memberi ruang kepada penyelesaian segala persoalan dan kebimbangan yang timbul,” katanya.

Beliau berkata, MBM juga berharap setiap kementerian dan agensi tidak bertindak secara silo bagi menjayakan inisiatif tersebut.

Katanya, MBM juga bersedia untuk menghulurkan tangan bagi membantu kerajaan untuk menggiatkan usaha pendaftaran sistem PADU secara
besar-besaran dengan menggembleng 42 buah badan gabungannya dan 106 Majlis Belia Daerah setelah segala persoalan terjawab. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Politeknik Sultan Idris Shah pertahan gelaran FIRA Malaysia

POLITEKNIK Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala Federation of International Robot Soccer Association (FIRA) Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan