32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PADU telah integrasi 314 set data pelbagai agensi – Rafizi

Mesti Baca

SISTEM Pangakalan Data Utama (PADU) telah mengintegrasikan 314 set data pelbagai agensi yang menjadi asas untuk membentuk profil individu yang komprehensif, sehingga 12 Mac lalu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini sesuai dengan sistem data raya tersebut yang dibangun dengan mengintegrasikan pelbagai sumber data pentadbiran daripada lebih 400 agensi sektor awam.

Menurutnya, ini termasuk data-data dari sumber kerajaan negeri dan tempatan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) bagi membentuk data raya yang komprehensif mengikut individu dan isi rumah.

“Sepanjang proses pembangunan PADU, pelan risiko dan perlindungan keselamatan, serta melindungi data terperingkat daripada diceroboh dan bocor, sentiasa diberi keutamaan oleh semua pihak.

“Pasukan pembangunan sistem PADU sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi yang menguruskan keselamatan siber dan privasi data negara seperti Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia (CSM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Kementerian Komunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali semalam.

Sharifah Hasidah berkata, kerajaan Sarawak menyokong hasrat kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan PADU namun menyarankan supaya ia dilaksanakan dengan penuh waspada.

Beliau berkata, dalam menyalurkan bantuan dengan lebih efektif, maklumat berhubung ekonomi dan kedudukan kewangan memanglah amat penting bagi menentukan kejayaan subsidi bersasar.

Advertisements

“Namun bukanlah sehingga ke tahap mendedahkan profil sulit dan peribadi seseorang, yang sememangnya tidak wajar didedahkan, dalam menentukan kelayakan penerima yang disasarkan,” katanya.

Rafizi berkata, sehingga kini tiada isu kebocoran maklumat dilaporkan walaupun terdapat antara dua hingga 2.3 juta kali cubaan serangan ke atas PADU dalam tempoh satu minggu.

Katanya, sistem PADU dibangunkan secara dalaman menggunakan kepakaran penjawat awam sedia ada tanpa melibatkan lantikan daripada perunding luar.

“Saya memberikan jaminan bahawa dengan PADU, setiap rakyat akan menerima manfaat yang adil dan wajar melalui perancangan dan pelaksanaan dasar yang lebih baik dan berkesan berpandukan data,” katanya.

Mengenai keraguan kerajaan Sarawak, Rafizi berkata, satu sesi taklimat akan dianjurkan kepada wakil kerajaan Sarawak berkenaan isu keselamatan dan perlindungan data dalam masa terdekat.

“Kementerian komited dalam menjawab segala persoalan dan kebimbangan yang telah dibangkitkan oleh kerajaan negeri Sarawak,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini meminta Rafizi memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri berhubung isu pendaftaran PADU minggu depan.

Anwar berkata, ia susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai sistem itu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan