24.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Pantau impak sosioekonomi ekoran kenaikan cukai perkhidmatan

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Oleh DR NOR SALWATI OTHMAN

SEKTOR perkhidmatan adalah sektor yang bercirikan pengeluaran perkhidmatan bukan produk akhir, yang dapat dinikmati dan ia merangkumi perhatian, nasihat, pengalaman, dan perbincangan.

Di Malaysia, sektor perkhidmatan menyumbang lebih daripada separuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjadikan sektor perkhidmatan sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi, produktiviti dan pendapatan negara.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan jumlah hasil keseluruhan sektor perkhidmatan bagi 2023 adalah RM2.3 trilion, meningkat 8.4 peratus daripada RM2.1 trilion pada 2022.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; pengangkutan dan penyimpanan; serta maklumat dan komunikasi masing-masing meningkat 7.7 peratus (+RM119.1 bilion); 15.8 peratus (+RM20.4 bilion); dan 5.3 peratus (+RM8.6 bilion) berbanding angka pada 2022.

Di dalam pembentangan belanjawan 2024 yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar cukai perkhidmatan kepada daripada 6 peratus kepada 8 peratus berkuat kuasa pada 1 Mac lalu.

Namun ia tidak melibatkan perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.

Tidak dinafikan, kenaikan cukai perkhidmatan akan memberi impak positif dan negatif kepada sosioekonomi negara.

Kesan negatif yang ketara adalah peningkatan harga perkhidmatan.

Menurut Ketua Bahagian Percukaian Deloitte Malaysia, Sim Kwang Gek, kesan segera kepada perniagaan ialah peningkatan kos menjalankan perniagaan kerana kenaikan cukai perkhidmatan akan disalurkan kepada pengguna dan perniagaan pada akhirnya.

Impak ‘cukai ke atas cukai’ akan menyebabkan harga meningkat lebih tinggi.

Kenaikan harga ini pula, jika tidak dapat dibendung dan berterusan, akan memberi impak yang lebih besar iaitu peningkatan kadar inflasi negara.

Seterusnya, kesan inflasi ini akan mengecilkan nilai pendapatan benar penduduk dan kuasa beli.

Tidak mustahil, kadar jenayah, kadar penceraian dan penderaan juga akan meningkat kerana manusia terpaksa menanggung kos hidup yang semakin meningkat.

Advertisements

Di samping itu, peningkatan tahap kemiskinan juga berlaku terutama kemiskinan di kawasan bandar.

Dari satu sudut yang lain, kenaikan cukai perkhidmatan dapat meningkatkan sumber pendapatan negara, dan menjaga kestabilan fiskal negara.

Mengikut laporan, kerajaan dijangka menjana pendapatan cukai perkhidmatan tambahan sebanyak RM900 juta pada tahun ini.

Buat masa ini, Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada pinjaman luar negara bagi menampung kos-kos pembangunan negara dan pemberian subsidi kerana ianya akan memburukkan lagi defisit fiskal negara.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, kerajaan akan berusaha untuk mengurangkan kadar defisit fiskal negara kepada 4.3 peratus pada tahun ini.

Cukai tak langsung seperti cukai jualan dan perkhidmatan adalah antara solusi kepada penguncupan defisit fiskal kerana sektor perkhidmatan merupakan menyumbang lebih daripada separuh KDNK negara. Semakin tinggi aktiviti sektor ini, semakin tinggi juga kutipan cukai.

Seterusnya, kejayaan kerajaan menangani masalah defisit akan meningkatkan kredibiliti kerajaan dan meningkatkan keyakinan pelabur dari dalam dan luar negara.

Selain itu, kenaikan cukai perkhidmatan dapat menghalang pengguna menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan yang tidak atau kurang penting seperti kelab malam, dewan tari menari, rumah awam, kelab persendirian, padang golf, pertaruhan dan perjudian.

Menurut Kementerian Kewangan, kenaikan cukai perkhidmatan ini tidak melibatkan perkhidmatan untuk makanan, minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta, dan logistik yang disifatkan satu keperluan bagi penduduk di Malaysia.

Ini bermaksud cukai perkhidmatan untuk makanan, minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta, dan logistik masih kekal pada kadar 6 peratus.

Selain dari itu, pengguna perkhidmatan elektrik juga masih dapat menikmati kadar cukai perkhidmatan 6 peratus pada tahap penggunaan melebihi 600 kilowatt, jika penggunaan kurang dari 600kilowatt, tiada cukai perkhidmatan dikenakan.

Dicadangkan agar kerajaan dapat memantau dengan baik perlaksanaan kenaikan cukai pendapatan ini supaya perlaksanaannya selari dengan apa yang dibentangkan di atas kertas, terutamanya melibatkan isu ketelusan maklumat, penyelewengan, kurang pematuhan, “cukai ke atas cukai”, dan lain-lain.

Di samping itu, untuk melihat kembali kesesuaian pengecualian kenaikan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan pusat kesihatan bagi menjamin kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat.


Penulis adalah Pensyarah Kanan dan Ketua, Jabatan Bisnes dan Pengurusan, UNITEN Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan