27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

APAD siasat kes treler rempuh 11 kenderaan di Johor

Mesti Baca

AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang menyiasat kes kemalangan membabitkan sebuah treler yang merempuh 11 kenderaan di Kilometer 11.1 Lebuh Raya Pasir Gudang-Perling, dua hari lalu.

APAD dalam satu kenyataan berkata, siasatan menyeluruh itu bagi mengetahui punca kemalangan tersebut agar tindakan susulan dapat diambil terhadap pemandu serta syarikat pengendali.

Agensi itu berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang mengalami kecederaan.

“APAD sekali lagi ingin menegaskan pendirian untuk tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Siasatan awal yang melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, seterusnya memastikan insiden seumpama ini dapat dielakkan daripada berulang,” kata kenyataan itu hari ini.

Keadaan beberapa kenderaan selepas dirempuh treler yang terbabas di Lebuh Raya Pasir Gudang-Perling, kelmarin.

Berdasarkan rakaman yang tular dalam media sosial baru-baru ini didapati treler tersebut terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh 11 kenderaan yang berhenti di laluan bertentangan.

Berdasarkan siasatan awal, pihak polis mendapati kemalangan tersebut berlaku apabila treler yang dipandu seorang lelaki warga tempatan dari arah Perling menghala ke Pasir Gudang terbabas selepas mengelak sebuah motokar yang mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kanan dalam laluan lori treler itu.

Advertisements

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengambil tindakan awal dengan menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA) serta termasuk semakan saman yang pernah dikeluarkan kepada pemandu atau syarikat treler tersebut.

Dalam masa yang sama, katanya, JPJ juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM untuk mendapatkan laporan siasatan kemalangan.

“APAD juga sedang bekerjasama dengan pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) untuk mendapatkan laporan teknikal siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

“Hasil laporan tersebut dijangka diperolehi dalam masa terdekat,” katanya.

Kenyataan itu berkata, APAD juga dalam tindakan untuk mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) terhadap pengendali berlesen yang terlibat setelah mendapatkan laporan audit JISA dan Laporan Pemeriksaan Kenderaan Selepas Kemalangan PUSPAKOM bagi mendapatkan kesahihan kes kemalangan.

“APAD ingin mengingatkan mana-mana syarikat untuk memantau prestasi pemandu kenderaan masing-masing dalam memastikan keselamatan terhadap pengguna jalan raya yang lain.

“Pengendali dan pemandu perlu sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang melibatkan hal-hal keselamatan jalan raya,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan