28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

PSSS Transit bantu tangani isu psikososial setempat – Nancy

Mesti Baca

PUSAT Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Transit pertama yang dibuka di Rantau Panjang, Kelantan diharap dapat membantu menangani isu psikososial masyarakat khususnya golongan sasar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pembukaan PSSS Transit tersebut merupakan rentetan kepada PSSS Bergerak yang telah diwujudkan sejak 2021.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 44,783 orang telah mendapatkan khidmat bantuan psikososial di seluruh negara.

“Penubuhan PSSS Transit adalah rentetan dan maklum balas daripada orang ramai dan jabatan agensi berkaitan melalui kes-kes program outreach perkhidmatan PSSS Bergerak ke seluruh negara,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan PSSS Transit tersebut di Rantau Panjang, Kelantan.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr. Maziah Che Yusoff; Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif
Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nordina Haron.

Bangunan PSSS Transit tersebut merupakan sebahagian daripada bekas kuarters kakitangan Kastam Diraja Malaysia yang diserah milik kepada KPWKM pada 26 September 2021.

Bekas kuarters Kastam yang dijadikan premis PSSS Transit di Rantau Panjang.

Premis tersebut kemudian diubah suai mengikut spesifikasi keperluan PSSS Transit.

Advertisements

Nancy berkata, pusat tersebut menyediakan perkhidmatan bantuan psikososial yang holistik dengan sesi bimbingan dan kaunseling, sokongan emosi, mengurangkan tekanan melampau.

Ia juga menjadi transit sementara berbentuk immediate relief dan menjadi pusat penerimaan aduan dan intervensi awal sebelum dirujuk kepada jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan.

Katanya, pengoperasian PSSS Transit tersebut mendapat kerjasama Kaunselor Berdaftar daripada Lembaga Kaunselor Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Pembangunan Penduduk Keluarga Negara (LPPKN), Institut Sosial Malaysia (ISM), Talian Kasih 15999 (KPWKM).

Selain itu, katanya, jabatan dan agensi kerajaan lain yang turut terlibat antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), D11 Polis Diraja Malaysia dan One Stop Crisis Centre (OSCC), Hospital Raja Perempuan Zainab II.

“Inisiatif ini telah mula dijalankan sejak 2021 dengan menawarkan perkhidmatan secara bergerak terus ke kawasan tumpuan ramai, berhampiran
dengan kawasan kediaman dan kawasan penempatan pendalaman bagi
memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Nancy berkata, penubuhan PSSS tersebut selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi serta sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.

Sementara itu, Nancy sekali lagi menyeru agar masyarakat sentiasa peka dan prihatin terhadap orang sekeliling khususnya keluarga, saudara atau jiran terdekat yang memerlukan bantuan psikososial.

Menerusi sikap prihatin masyarakat, mereka dapat mengatasi isu kemurungan, keganasan rumah tangga, pasca penceraian, pengabaian, penderaan, gangguan seksual, pemerdagangan manusia, kesihatan mental, ketagihan dadah serta rujukan kebajikan untuk mendapatkan bantuan intervensi awal di PSSS. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali...

Lagi Artikel Berkaitan