PERGERAKAN Pemuda UMNO Malaysia hari ini menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghalang cadangan untuk memperkenalkan beras Madani di pasaran.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, tindakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal itu bukan sahaja dianggap menipu rakyat tetapi juga menjejaskan pasaran beras putih tempatan.
Beliau turut menempelak Syed Abu Hussin yang dianggap tidak mempunyai kuasa untuk mengumumkan pengenalan beras tersebut sehingga mengelirukan orang ramai.
“Jangan tipu rakyat dengan cadangan beras madani ini. Saya minta agar Perdana Menteri tidak membenarkan cadangan beras madani dari Ahli Parlimen Bukit Gantang daripada terus dilaksanakan
“Seharusnya kita perlu terus menentang kartel yang mencampurkan beras tempatan dengan beras import bukan menyokong apa yang mereka buat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Syed Abu Hussin yang juga Pengerusi Task Force Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) mencadangkan kerajaan mengeluarkan beras putih tunggal bagi menggantikan kategori beras tempatan dan import dengan harga yang lebih rendah.
Menurutnya, Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 bagi setiap 10 kilogram (kg) mulai 1 Mac depan dilaksanakan demi mengurangkan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
Bagaimanapun, cadangan tersebut mendapat bantahan pelbagai pihak kerana harganya lebih mahal berbanding beras putih tempatan yang kini dijual pada harga RM26.
Akmal berkata, jika wujud beras madani tersebut, beliau yakin tidak akan ada langsung beras putih tempatan di pasaran.
“Sedangkan yang sekarang ini pun isu beras putih tempatan begitu susah untuk kita dapat.
“Seharusnya fokus kita adalah untuk meningkatkan SSL beras tempatan bukan nak menguntungkan kartel dan merugikan rakyat. Kita akan tetap terus melawan kartel yang menipu rakyat ini,” katanya. – Edisi 9