PEMANSUHAN skim pencen bagi penjawat awam dicadangkan dimulakan dengan wakil rakyat terlebih dahulu.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, keputusan kerajaan itu dilihat seperti berat sebelah kerana wakil rakyat boleh menikmati pencen tetapi sebaliknya tidak untuk rakyat.
“Kita memahami tekanan kewangan yang sedang ditanggung oleh kerajaan ketika ini. Tetapi biarlah pemansuhan skim pencen dimulakan oleh wakil rakyat terlebih dahulu.
“Tidak adil jika kita mansuhkan pencen mereka, tetapi kita pula menikmati pencen sehingga mati. Tiada dua darjat antara wakil rakyat dan rakyat” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Sebelum ini, Kabinet dilaporkan bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen dan pengumuman mengenai tempoh serta tarikh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas tetapi golongan baharu yang dilantik nanti perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dalam pada itu, Akmal mengharapkan cadangan yang dikemukakan itu diteliti semula dan dipersetujui oleh kerajaan termasuk semua wakil rakyat.
“Kami percaya dengan prinsip kepimpinan melalui tauladan. Mohon cadangan ini diambil kira dan dipersetujui oleh semua wakil rakyat sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang,” katanya. -Edisi 9