25.5 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Kerajaan akan pastikan AP, IP untungkan pengeluar tempatan

Mesti Baca

KERAJAAN sedang mencari satu formula tatakelola kawalan kuota import (AP) dan permit import (IP) bagi memastikan ia memberi keuntungan bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga pengeluar tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu tersebut antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan beliau di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata, formula tersebut untuk memastikan keterjaminan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.

“MTEN hari ini juga telah membincangkan mengenai penambahbaikan tatakelola Approved Permit (AP) dan Permit Import (IP) ke arah meningkatkan daya saing negara.

“Beberapa perkara turut dipersetujui, antaranya setiap agensi kawal selia yang berkaitan diminta mengemukakan kaedah penambahbaikan kepada Jemaah Menteri bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan proses analisa risiko import,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadir sama dalam mesyuarat pertama MTEN bagi tahun 2024 itu ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Perdana Menteri berkata, bagi tujuan tersebut, Ketua Audit Negara disaran untuk melaksanakan proses audit bagi sektor-sektor yang terpilih.

Advertisements

Kata beliau, ini bagi memastikan pelaksanaan AP dan IP mencapai sasaran dan memenuhi matlamat yang telah ditetapkan.

Selain itu, Anwar berkata, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pula diarahkan untuk melaksanakan kajian dan penilaian terhadap tatakelola dan pengimportan barangan halal.

“Manakala, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diminta mengkaji isu berkaitan kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan,” kata beliau.

Mengenai Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah diluncurkan Perdana Menteri pada 2 Januari lalu, mesyuarat telah membentangkan kemajuan semasa dan memberi pandangan langkah-langkah yang perlu diambil oleh agensi berkaitan.

Kata beliau, ini terutama berkaitan keselamatan data dan kaedah untuk meningkatkan jumlah pendaftaran.

Mesyuarat juga telah bersetuju menambah ahli-ahli tetap MTEN terdiri daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industi, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan