REMAJA di negara ini dikatakan semakin hilang minat untuk melanjutkan pelajaran mereka selepas menamatkan persekolahan.
Mereka lebih cenderung untuk bekerja, berniaga, mencipta kandungan media sosial atau sebagai pemandu e-hailing.
Jika ditanya, para remaja ini sudah tentu mempunyai pelbagai alasan tersendiri sehingga mereka tidak berminat untuk belajar lagi selepas menduduki peperikaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Antara faktornya ialah kerana pengaruh sekeliling, faktor ekonomi, tiada perancangan masa depan ekoran pengabaian oleh ibu bapa serta kerana adanya pilihan kerjaya alternatif seperti menghasilkan kandungan media sosial.
Apatah lagi ramai kalangan remaja yang menjadi jutawan muda hasil daripada penciptaan kandungan media sosial atau berniaga menerusi pelbagai aplikasi di internet.
Bagi mereka pekerjaan itu sudah cukup tanpa perlu melanjutkan pengajian mereka di peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, ada juga yang menyalahkan sistem pendidikan kerana dianggap tidak seiring dengan kemahuan mereka.
Justeru, bagi menangai masalah remaja yang tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, beberapa langkah boleh dilakukan.
Paling penting adalah sokongan ibu bapa dan orang di sekeliling mereka. Ibu bapa dan para guru perlu sentiasa memberikan semangat, dorongan dan panduan untuk memilih bidang yang sesuai dengan mereka.
Penganjuran program motivasi secara berkala juga baik untuk menjadikan para remaja berkenaan termotivasi untuk terus belajar ke peringkat tertinggi.
Pihak sekolah perlu mendapatkan pakar-pakar untuk memberikan motivasi kepada para perlajar yang akan menamatkan sesi persekolahan.
Penyediaan program pembangunan kemahiran seperti TVET amat baik untuk menggalakkan para remaja meneruskan pelajaran terutama bagi mereka yang tidak meminati pembelajaran akademik.
Manakala kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan pula perlulah praktikal dan relevan dengan keadaan semasa agar mereka lebih mudah mendapat pekerjaan apabila lulus kelak.
Penyediaan maklumat yang tepat juga penting bagi remaja untuk mendapatkan pelbagai informasi mengenai institusi pengajian tinggi untuk membolehkan mereka membuat pilihan.
Ini akan memberi ruang kepada para remaja terbabit untuk memilih bidang dan institusi yang mereka minat.
Kesimpulannya, para remaja hendaklah mempunyai minat dalam menuntut ilmu kerana banyak kebaikan yang bakal mereka peroleh dalam mengharungi kehidupan mendatang.
Bagaimanapun, semua pihak hendaklah berganding bahu membantu memulihkan semangat mereka para remaja untuk terus belajar.
Ini kerana pendidikan sangat penting untuk melahirkan lebih ramai insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi pada masa depan. – Muhamad Shazwan Mudzafar (Pelajar USIM) / Edisi 9
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Edisi 9. - Editor