25.5 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Pemisahan KKD sejajar peredaran masa – Ahli akademik

Mesti Baca

KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memisahkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kepada dua kementerian berbeza dalam penyusunan semula Kabinet langkah strategik sejajar peredaran masa serta landskap komunikasi hari ini.

Ahli akademik, aktivis belia dan pengamal media berpandangan bidang komunikasi tidak hanya tertumpu kepada industri media, sebaliknya jika diteliti dan difahami dengan lebih mendalam, komunikasi satu bidang yang amat luas.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA, Muhammad Azril Izuan Ramlan, berkata cabaran komunikasi kini jauh lebih besar dengan kewujudan pelbagai platform media sosial berbanding dahulu yang hanya terhad dengan media elektronik dan media cetak.

“Kita sering melihat kes-kes video berunsur fitnah tular di media sosial merangkumi pelbagai isu dan penularan video seperti ini harus dikekang melalui perancangan komunikasi berkesan, bagi memastikan hanya maklumat yang benar diterima oleh masyarakat.

“Dalam hal ini, aspek advokasi seperti portal Sebenarnya.my amat penting untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar membuat penilaian yang tepat sebelum berkongsi sebarang maklumat sekali gus menjadi rujukan kepada masyarakat untuk lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya sehingga menjadi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perkara seperti itu yang kerap dijana oleh individu tidak bertanggungjawab dapat dikekang dan diuruskan dengan lebih berkesan melalui kawal selia komunikasi yang lebih berfokus.

Muhammad Azril Izuan berkata, penempatan agensi utama seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Jabatan Penerangan di bawah Kementerian Komunikasi yang diterajui oleh Fahmi Fadzil juga wajar dilihat dari sudut pandang pengurusan serta pentadiran selaras dengan fungsi MCMC sebagai pengawal selia komunikasi di Malaysia dan Jabatan Penerangan dengan peranannya dalam menyampaikan penerangan serta maklumat kepada umum melalui platform komunikasi sedia ada.

Beliau berkata, penempatan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Jabatan Penyiaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan MyCreative Ventures di bawah kementerian sama juga langkah positif yang menunjukkan kesediaan kerajaan terhadap perkembangan pesat dalam teknologi serta perubahan dalam pola komunikasi masyarakat.

Rombakan Jemaah Menteri yang diumumkan Perdana Menteri pada Selasa lalu menyaksikan KKD dipecah menjadi dua kementerian iaitu Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Advertisements

Kementerian Digital diterajui bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Aktivis belia Muhammad Khair Noor Hisham pula berkata, keputusan mencerakinkan kementerian tertentu sebagaimana diumumkan mampu memasakkan fokus yang lebih strategik, teratur dan tersusun selain memberi kesan positif kepada sistem pengurusan serta pelaksanaan dasar yang lestari.

Timbalan Pengerusi Persatuan Bantuan Kesihatan Mental (Nyawa) itu berkata pengasingan KKD mampu menstrukturkan pendekatan lebih berkenaan dalam mendepani cabaran semasa komunikasi yang menuntut lebih tumpuan diberikan.

“Bagi Kementerian Komunikasi, antara isu yang perlu diberikan penekanan khusus ialah berita palsu, penipuan, media sosial dan bidang kewartawanan, manakala Kementerian Digital pula memfokus kepada aspek pendigitalan, kecerdasan buatan dan pemodenan pentadbiran kerajaan,” katanya.

Penerbit Eksekutif Kanan, Berita dan Ehwal Semasa TV3, Mior Abdul Malek Raiyani pula berkata aspek digital yang terangkum di bawah sektor komunikasi mengalami revolusi yang sangat pantas sekali gus menjadikan peranannya kini menjangkau ke bidang ekonomi dan keselamatan rakyat serta negara.

Beliau berkata, dengan landskap komunikasi yang sedemikian ditambah pula cabaran pelbagai platform media sosial membolehkan mana-mana individu mencipta kandungan sendiri.

Dalam hal ini, katanya, petugas media menghargai kepantasan maklumat yang diperoleh namun satu proses lagi yang perlu dilakukan ialah mendapatkan kesahihan sesuatu isu yang dimuat naik.

“Lantas keputusan menempatkan beberapa agensi seperti Jabatan Penerangan dan MCMC bagi tujuan penerangan, komunikasi dan kawal selia kepada masyarakat di bawah Kementerian Komunikasi yang diterajui Fahmi Fadzil selaku menteri wajar, tepat dan semasa,” katanya. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan