29.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Fitch kekalkan penarafan kredit Malaysia dengan tinjauan stabil

Mesti Baca

FITCH Ratings mengesahkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan ‘stabil’, kata Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan.

MOF berkata, penarafan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan terhadap reformasi fiskal dan keupayaan negara untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi serta daya tahan dalam menghadapi keadaan global yang lemah dan tidak menentu.

“Menurut Fitch, penarafan Malaysia diimbangi oleh keadaan ekonomi yang pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh berbanding hutang awam yang tinggi, asas hasil yang rendah relatif dengan perbelanjaan mengurus, dan keadaan politik yang mungkin menjejaskan pelaksanaan dasar dan reformasi jangka panjang,” kata kenyataan itu hari ini.

Fitch menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar bergerak sederhana kepada 4.0 peratus pada 2023 dan 4.2 peratus pada 2024 pada ketika kestabilan politik negara yang bertambah baik.

Fitch menganggarkan bahawa, permintaan global yang lemah dan sekatan perdagangan akan menjejaskan aktiviti eksport negara.

Namun begitu, Fitch juga menyatakan bahawa permintaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh pertumbuhan dalam pendapatan dan aktiviti pelaburan.

Fitch menyatakan bahawa kedudukan akaun semasa negara terus mencatat lebihan selama lebih dua dekad dan menjangkakan akaun semasa akan kekal dengan lebihan dalam jangka sederhana, walaupun menghadapi cabaran luar.

Fitch menganggarkan akaun semasa akan mengecil kepada 2.6 peratus pada 2023 berbanding 3.0 peratus pada 2022, namun Malaysia berada pada kedudukan yang baik serta berupaya untuk meraih manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan global disebabkan oleh sektor pembuatan yang kompetitif dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang ketara sejak pembukaan semula ekonomi pada 2022.

Advertisements

Fitch menjangkakan bahawa defisit Kerajaan Persekutuan akan menurun kepada 3.5 peratus pada 2025 disebabkan oleh rasionalisasi subsidi dan pelancaran Cukai Minimum Global.

Kerajaan komited untuk meneruskan konsolidasi fiskal dan membina semula ruang fiskal untuk kemampanan jangka panjang.

Dalam jangka sederhana, kerajaan yakin dapat mengurangkan defisit fiskal daripada 5.6 peratus pada 2022 kepada anggaran 5.0 peratus pada tahun 2023 dan seterusnya kepada 4.3 peratus pada tahun 2024.

Belanjawan 2024 mengekalkan pendirian dasar fiskal yang mengembang dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM90 bilion bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi serta memenuhi keperluan rakyat.

Di bawah kerangka Ekonomi MADANI, langkah konsolidasi fiskal akan dipercepat bagi mencapai sasaran defisit 3.0 peratus dan pembaharuan fiskal terus menjadi keutamaan kerajaan.

Ini dizahirkan dalam Rang Undang-undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) baru-baru ini yang diluluskan oleh Parlimen bulan lalu.

FRA akan menginstitusikan akauntabiliti dan ketelusan dalam kewangan awam untuk kemampanan fiskal jangka panjang dan kestabilan makroekonomi.

Melangkah ke hadapan, Kementerian Kewangan berkata kerajaan yakin bahawa inisiatif yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI dan pelaksanaan langkah-langkah di bawah pelbagai rancangan negara iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) akan terus merangsang pertumbuhan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bernas tanam padi pulut berskala besar di Langkawi

PADIBERAS Nasional Berhad (Bernas) melaksanakan projek penanaman padi pulut berskala besar membabitkan ladang sawah seluas 540 hektar di Langkawi,...

Lagi Artikel Berkaitan