33.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani 8 Disember ini

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PENCAPAIAN selama setahun kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipertontonkan menerusi penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pada 8 hingga 10 Disember ini.

Sekreteriat program menerusi kenyataan berkata, program yang diadakan di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil itu bertujuan menyebar luas dan mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat.

Selain itu katanya, ia bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan, membina kepercayaan dan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

“Penganjuran program ini memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

“Ketiga-tiga komponen ini merupakan ikhtiar kerajaan dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan selari dengan nilai-nilai Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya hari ini.

Advertisements

Program selama tiga hari ini dikelolakan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Ia turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta pemegang taruh.

Menurut kenyataan itu, antara tarikan program ialah penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus kementerian-kementerian bersama rakyat, Jualan Mega Madani dan lain-lain lagi.

“Rakyat juga berpeluang untuk melihat pencapaian kerajaan melalui pameran pencapaian semua kementerian berserta perancangan jangka masa panjang kerajaan.

“Majlis perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani bakal disempurnakan Perdana Menteri pada 10 Disember dan akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

KPM laksana pebagai inisiatif untuk reformasikan pendidikan negara

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara. Menurut KPM dalam kenyataannya, ini termasuk pengstrukturan...

Lagi Artikel Berkaitan