32.9 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Ketua KPK Indonesia disyaki peras ugut, terima rasuah

Mesti Baca

KETUA Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia (KPK), Firli Bahuri disyaki terbabit dalam peras ugut dan menerima rasuah di antara 2020 hingga tahun ini.

Firli yang juga bekas Ketua Polis Daerah Sumatera Selatan dan Nusa Tenggara Barat, disyaki menerima hadiah atau ganjaran sebagai balasan bagi siasatan kes rasuah Kementerian Pertanian.

Beliau yang dilantik ke jawatan itu pada 2019 menjadi ketua agensi pencegahan rasuah pertama disyaki melakukan jenayah yang kini disiasat polis.

Firli bagaimanapun belum ditahan polis, selain pihak berkuasa berkenaan belum menyatakan hasrat untuk berbuat demikian.

Rasuah kekal berleluasa di republik yang menduduki tempat ke-110 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah terkini Transparency International.

Pengarah Siasatan Jenayah Khas Polis Indonesia, Ade Safri Simanjuntak, berkata Firli akan disiasat atas jawatan beliau sebagai Ketua KPK dan suspek kes jenayah rasuah.

Baru-baru ini, bekas Menteri Pertanian Indonesia, Syahrul Yasin Limpo dilapor ditahan susulan beberapa dakwaan, termasuk menyeleweng dana awam bernilai lebih AS$800,000 (RM3.75 juta), Oktober lalu.

Advertisements

Beberapa dakwaan terhadap Firli berkaitan dengan kes Syahrul Yasin.

Polis berkata, pihaknya menggeledah dua hartanah, selain menemu bual lebih 90 individu dan merampas bukti, termasuk dokumen pertukaran wang asing dalam dolar Singapura dan Amerika Syarikat antara 2021 hingga 2023 bernilai lebih 7.4 bilion rupiah (RM2.23 juta).

KPK enggan mengulas lanjut, manakala Firli beberapa kali menafikan dakwaan terbabit, sebelum ini.

Firli berdepan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Indonesia sebelum ini, dilapor menahan puluhan pegawai kerajaan akibat rasuah sejak beberapa tahun lalu.

Pada 2021, bekas Menteri Hal Ehwal Sosial dipenjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah menerima rasuah AS$1.2 juta (RM5.62 juta) yang dikaitkan dengan bantuan makanan untuk keluarga miskin terjejas COVID-19. -Agensi

Advertisements

Terkini

CTOS sumbang RM30,000 biayai pelajar kurang bernasib baik

CTOS Digital Berhad telah menyumbang sebanyak RM30,000 untuk dana biasiswa bagi pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai, Ampang, Selangor...

Lagi Artikel Berkaitan