31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Usaha perangi rasuah dengan menghukum jerung – Anwar

Mesti Baca

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan memerangi rasuah perlu bermula dengan menghukum jerung-jerung sebagai satu pengajaran supaya hal tersebut tidak lagi berulang.

Menurut Perdana Menteri, langkah tersebut adalah lebih baik berbanding sekadar memenjarakan watak-watak kecil yang akhirnya hanya menjadi gimik dan sandiwara.

Bagaimanapun, kata beliau, usaha tersebut pasti akan diselubungi kontroversi kerana seseorang yang mempunyai kekayaan berpuluh bilion tidak akan berdiam diri apabila disiasat dan akan menggunakan segala pengaruhnya untuk melawan.

“Tetapi jika kita berhenti bertindak kerana pengaruhnya, maka tidak layak kita menjadi pemimpin yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga negara.

“Risiko perlu dihadapi kerana utamanya adalah negara mesti diselamatkan,” katanya ketika berucap dalam Program Penggerak Madani Negeri Sembilan di Kem Wawasan Negara, Ulu Sepri, Negeri Sembilan hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sehubungan itu, Perdana Menteri memohon dukungan rakyat untuk bersama-sama beliau berpegang kepada prinsip tersebut sekali gus membersihkan negara daripada amalan bobrok dan mengangkat martabat negara.

Advertisements

Anwar berkata, negara ini memerlukan satu anjakan yang ketara menerusi dasar-dasar yang digariskan di bawah gagasan Madani untuk memperbetulkan kebobrokan sistem pentadbiran yang berlaku sejak sekian lama.

Kata beliau, Madani menekankan soal ihsan, akhlak, kemanusiaan dan keadilan bagi merawat keterhakisan nilai-nilai tersebut akibat kemajuan material sehinggakan sanggup membiarkan pimpinan yang rasuah terus bermaharajalela sejak sekian lama.

“Anjakan ini perlu bermula dengan membina semula tatakelola yang baik serta semangat menolak rasuah.

“Kerana itu kerajaan hari ini sedaya upaya menoktahkan budaya mengizinkan kuasa dan sistem pemerintahan dijadikan kesempatan memunggah kekayaan untuk tokoh-tokoh tertentu,” kata beliau.

Isnin lalu, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta.

Bagaimanapun, tertuduh, Che Abdul Daim Zainuddin, 86, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Daim yang juga dikenali sebagai tokoh korporat merupakan Menteri Kewangan dari tahun 1984 hingga 1991, iaitu ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Keempat. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan