JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perlis, Perak dan Kedah mencatat penurunan setakat jam 8 malam tadi.
Di Perlis, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud, berkata jumlah mangsa berkurangan kepada 41 orang daripada 12 keluarga setakat malam tadi, berbanding 44 mangsa daripada 13 keluarga.
Mohd Izaimi dalam kenyataan memaklumkan, semua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Titi Tinggi Hilir, Padang Besar yang dibuka secara rasmi pada jam 1 pagi selain ada mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing pada jam 6.45 petang semalam.
Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan, mangsa banjir tiga daerah di negeri itu berkurangan kepada 210 orang daripada 61 keluarga.
Menurut kenyataan itu, di Hilir Perak, dua PPS masih dibuka iaitu PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak yang menempatkan 107 orang daripada 31 keluarga manakala PPS Dewan Serbaguna Chikus menempatkan 19 orang daripada lima keluarga.
“Di Kerian, 23 orang daripada empat keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala jumlah mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu kekal 57 orang daripada 19 keluarga.
“Di daerah Kinta, empat mangsa daripada dua keluarga dari Taman Meru 2C ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A manakala semua 19 mangsa daripada enam keluarga yang berlindung di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta sudah pulang ke kediaman masing-masing,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, 24 mangsa daripada lapan keluarga membabitkan tujuh kampung di Hulu Perak yang dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Gerik malam semalam, ditutup sepenuhnya pada jam 2 petang.
Sementara itu di Kedah, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS berkurangan kepada 31 orang daripada tujuh keluarga, berbanding 43 mangsa daripada 11 keluarga.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi dalam satu kenyataan berkata, seramai 12 mangsa daripada empat keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Malau dibenarkan pulang.
“Mangsa masih berada di PPS sama setakat jam 8 malam tadi. Mereka adalah penduduk di tiga kampung yang terjejas iaitu Kampung Paya Tok Keong, Kampung Paya Tok Teh dan Kampung Biak di daerah Kubang Pasu.
“Hujan lebat berterusan melebihi tiga jam petang kelmarin menyebabkan kawasan itu dinaiki air dan pihak Angkatan Pertahanan Awam menerima laporan mengenai kejadian banjir itu pada jam 5.30 petang,” katanya. –Edisi 9