HUJAN lebat malam tadi mengakibatkan beberapa kawasan di Selangor dinaiki air termasuk di Bangi dan Semenyih.
Berikutan kejadian tersebut seramai 150 mangsa terpaksa berpindah dan jumlah itu direkodkan setakat jam 7.30 pagi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kerja pemindahan dilaksanakan oleh Balai Bomba Penyelamat Bangi, Kajang, dan Semenyih.
“Banjir di Jalan Semenyih Indah 16 membabitkan air sedalam 1.52 meter menjejaskan 14 rumah dan seramai 50 mangsa dipindahkan pihak bomba.
“Di Kampung Bangi Lama, sebanyak 10 rumah terjejas akibat air banjir setinggi paras pinggang (dewasa), yang mana seramai 50 mangsa dipindahkan pihak bomba manakala kira-kira 100 lagi berpindah sendiri,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, seramai 79 orang mangsa di Bangi telah dapat diselamatkan setakat jam 8. 47 pagi tadi.
Tambah beliau, buat masa ini semua mangsa dipindahkan di Balai Raya MPKK Kampung Bangi dan Tadika Perpaduan Taman Bangi Ria sementara menunggu permohonan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurutnya, dianggarkan hampir 30 rumah terjejas akibat banjir di kawasan berkenaan sejak awal pagi tadi.
“Bagaimanapun, pihak bomba akan terus bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.
Ujar beliau, trend air menunjukkan penurunan. – Edisi 9

