32.9 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Anwar, Trudeau bincang perkukuh pelaburan, perdagangan

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Kanada, Justin Trudeau membincangkan kaedah dan usaha untuk perkukuh kerjasama pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perbincangan mereka juga tertumpu kepada kerjasama dalam bidang keselamatan siber, pendidikan, tenaga dan perubahan iklim.

“Kami turut mengalukan perjanjian perisian dan perkhidmatan jangka panjang antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Blackberry untuk mengukuhkan kedudukan keselamatan siber negara.

“Saya turut membangkitkan isu visa dengan Kanada berikutan pelancong Malaysia perlu mendapatkan visa dengan tempoh menunggu antara empat dan enam bulan, manakala Malaysia memberikan visa ketibaan kepada pelancong Kanada.

“Semoga hubungan Malaysia dan Kanada akan terus berkembang pada masa akan datang, insya-Allah,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Advertisements

Perdana Menteri berkata, mereka juga sempat bertukar pandangan isu Palestin, dengan Trudeau maklumkan bahawa terdapat keperluan melindungi rakyat dan menangani krisis kemanusiaan itu.

“Saya menegaskan terdapat keperluan untuk menangani punca konflik itu dan menamatkan penjajahan Israel selain menekankan bahawa Israel telah melakukan pelbagai kekejaman terhadap rakyat Palestin sejak beberapa dekad.

“Mereka dilepaskan tanpa dikenakan hukuman dan terus membina dan meluaskan penempatan haram.

“Kami bersetuju bahawa konflik ini perlu dijadikan peringatan kepada komuniti antarabangsa mengenai keperluan untuk menamatkan penjajahan Israel dan menghentikan kezaliman ke atas warga Palestin,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan