SEBANYAK 500 kilogram (kg) pukat yang hanyut di Pulau Tenggol, Dungun dibersihkan dalam satu program sukarelawan membabitkan pelbagai persatuan, baru-baru ini.
Seramai 20 sukarelawan daripada Che Wan Scuba, Malaysia Scuba Diving Association (MSDA) serta para nelayan tempatan telah mengadakan program pembersihan pukat hanyut di kawasan di pulau tersebut.
Program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Bomba Putrajaya, Majlis Perbandaran Dungun, MOTAC Negeri Terengganu dan Reef Check Malaysia (RCM).
Pengerusi Persatuan Ecodistrict, Ravefenizal berkata inilah kali pertama program pembersihan pukat hanyut dijalankan di Pulau Tenggol.
“Inisiatif ini memerlukan kerjasama dan sokongan lebih banyak pihak untuk tampil bagi memastikan kepelbagaian biodiversiti marin.
“Diharap dengan program seperti ini keterjaminan sumber perikanan dapat dipelihara sebagai sumber pendapatan nelayan tempatan di kawasan perairan Dungun Terengganu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihak komited untuk menubuhkan skuad pakar untuk Ghostnet Removal Task Force di seluruh negara bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan apabila terdapat lokasi yang terancam oleh pukat hanyut.
Sementara itu, penyelaras program, Nur Hayat Hazmir berkata, pukat jenis pari itu didapati meliputi kawasan terumbu karang yang terdapat di kawasan selaman sehingga membahayakan pelbagai biodiversiti marin terutama spesis penyu yang hampir pupus.
“Hampir 500 kg pukat di kedalaman 30 meter berjaya dibersihkan dan masih terdapat hampir 80 peratus pukat pari yang masih perlu dibersihkan dilokasi yang sama dan lokasi berhampiran untuk masa akan datang,” katanya.
Pengusaha selam skuba tempatan Che Wan Scuba, Shafuan Zainoddin berkata, pukat pari hanyut itu datangnya daripada nelayan haram dan tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan hidupan marin di lokasi selaman di Pulau Tenggol.
“Tempat ini adalah destinasi selam skuba unik di mana ia adalah kawasan ikan paus jenis Whaleshark dan penyu yang juga spesis marin terancam.
“Menerusi perbualan saya bersama nelayan tempatan, sumber tangkapan didapati berkurangan secara mendadak sejak pukat pari yang dianggarkan telah terdampar hampir lapan bulan di kawasan itu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap program tersebut dapat diteruskan secara kerap pada masa akan datang untuk memastikan sumber ekonomi tangkapan nelayan terpelihara. – Edisi 9

