33.6 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Kadar kecederaan pekerjaan meningkat 58.9 peratus

Mesti Baca

KADAR kecederaan pekerjaan di Malaysia meningkat 58.9 peratus kepada 34,216 kes pada 2022 berbanding 21,534 tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Statistik Kemalangan dan Penyakit Pekerjaan Negara bagi tahun 2022 menjadikan kadar kecederaan pekerjaan bagi setiap 1,000 pekerja meningkat kepada 2.22 pada 2022 berbanding 1.43 pada 2021.

“Bagi kecederaan pekerjaan bukan maut, jumlah kes adalah 33,899, merekodkan peningkatan ketara sebanyak 59.7 peratus berbanding 21,233 kes pada 2021.

“Oleh itu, kadar kecederaan pekerjaan bukan maut bagi setiap 1,000 pekerja mencatatkan kenaikan 2.20 pada tahun 2022 berbanding 1.41 pada 2021.

“Sementara itu, terdapat sejumlah 317 kes kecederaan pekerjaan maut pada 2022, meningkat sebanyak 16 kes berbanding 301 pada tahun sebelumnya.

“Ini digambarkan dengan kadar kecederaan pekerjaan maut yang lebih tinggi bagi setiap 100,000 pekerja iaitu 2.06 pada 2022, lebih tinggi daripada 2.00 pada 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata, dari segi kecederaan pekerjaan mengikut latar belakang demografi, kes kecederaan lebih kerap berlaku dalam kalangan pekerja lelaki iaitu lebih daripada dua pertiga kes dikenal pasti sebagai pekerja lelaki (84.2 peratus) berbanding 15.8 peratus pekerja perempuan.

Merujuk kepada kecederaan pekerjaan maut, beliau berkata kategori lelaki mencatatkan 98.1 peratus (311 kes) manakala 1.9 peratus (6 kes) adalah kategori perempuan.

“Sementara itu, dari perspektif kecederaan pekerjaan mengikut kewarganegaraan, warganegara Malaysia terdiri daripada 88.6 peratus atau 30,325 kes manakala bukan warganegara Malaysia menyumbang 11.4 peratus atau 3,891 kes,” katanya.

Advertisements

Katanya, berdasarkan perbandingan kes tahun lalu mengikut negeri dengan tahun sebelumnya, semua negeri mencatatkan peningkatan kecederaan pekerjaan kecuali Perlis manakala lapan negeri mencatatkan kadar kecederaan pekerjaan melebihi kadar nasional iaitu 2.22.

Beliau berkata, Johor menduduki tempat tertinggi dari segi kadar kecederaan pekerjaan yang melebihi kadar nasional dengan kadar 3.59, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (3.53), Pulau Pinang (3.35) dan Perak (3.24).

Menurutnya, Selangor merekodkan sebanyak 6,563 kecederaan pekerjaan atau 19.2 peratus daripada keseluruhan kes, mencatat peningkatan kes terbesar iaitu 2,368 kes manakala kadar kecederaan pekerjaan maut tertinggi adalah di Kuala Lumpur dan Putrajaya (3.69), dengan 33 kematian.

“Sementara itu, terdapat peningkatan tahunan kecederaan pekerjaan maut bagi 2022 di kebanyakan negeri iaitu Perak, Pahang, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor, Perlis, Terengganu dan Melaka,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebagai perbandingan, Mohd Uzir berkata kadar kecederaan di tempat kerja di Singapura bagi setiap 100,000 pekerja berkurangan daripada 673 pada 2021 kepada 614 pada 2022 namun kadar kecederaan pekerjaan maut meningkat kepada 1.3 bagi setiap 100,000 pekerja berbanding 1.1 pada tahun sebelumnya.

Katanya, kadar kemalangan pekerjaan di Jepun bagi setiap 1,000 pekerja kekal pada kadar 2.3 berbanding 2.3 pada 2021 manakala kadar kecederaan pekerjaan maut bagi setiap 100,000 pekerja dicatatkan menurun 1.42 daripada 1.60 pada 2021.

Beliau berkata, situasi statistik kecederaan pekerjaan di seluruh dunia menunjukkan cabaran berterusan dalam keselamatan tempat kerja.

“Kebanyakan negara sudah melaksanakan peraturan keselamatan dan inisiatif untuk mengurangkan kemalangan di tempat kerja termasuk latihan keselamatan, pemeriksaan dan penalti bagi ketidakpatuhan,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia negara pertama terima visa haji – Mohd Na’im

MALAYSIA menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024 ini. Menteri...

Lagi Artikel Berkaitan