26 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 16, 2024

Sari jadi inspirasi Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa

Mesti Baca

PERTUNJUKAN fesyen yang memukau hasil gabungan tekstil tradisional Malaysia dengan rekaan fesyen kontemporari yang diilhamkan daripada sari mewarnai kemuncak Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa.

Diadakan Sabtu lalu, pertunjukan fesyen anjuran Bkay Nair Resources (BNR) itu diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur dan menghimpunkan peminat fesyen, artis dan penggemar budaya dalam usaha untuk meraikan warisan Malaysia.

Acara bermula dengan bengkel pada 7 dan 8 Oktober yang mana peserta berpeluang untuk menjelajahi sejarah dan kepentingan batik, selain turut dibimbing melalui sesi maklumat dengan mempelajari teknik dalam mencipta tekstil Malaysia yang ikonik ini.

Pengarah BNR, Bkay Nair berkata, menerusi bengkel itu, peserta berpeluang mendapatkan wawasan mengenai penggunaan pewarna semula jadi serta warna, mempromosikan kelestarian dan kesedaran ekologi.

“Pada kemuncak acara, kita menampilkan pertunjukan fesyen yang menggabungkan tekstil tradisional Malaysia dengan rekaan fesyen kontemporari yang diinspirasikan daripada sari dengan satu persembahan warna-warna yang unik, corak yang rumit dan kemahiran yang amat tinggi.

“Seramai 44 model mempersembahkan 77 penampilan yang menakjubkan, hasil rekaan daripada 11 pereka yang diinspirasikan oleh pelbagai budaya Malaysia antaranya Norina Abdul, Munir Yahya, Linda Isa, Kesheen Ragunathan, Yani Baktiar, Zandra, dan Kalai serta empat pelajar pereka fesyen daripada International Academy of Fashion and Design (IFTC) iaitu Tan Ruo Qian, Priyashalini Eswaran, Naresh Yempati dan Lia Mysara.

“Sari Malaysia yang dihasilkan dengan teliti daripada batik, songket dan Sutera Malaysia, menjadi lambang yang mendalam terhadap warisan budaya Malaysia.

Advertisements

“Ciptaan ini tidak hanya mencerminkan sejarah dan tradisi yang kaya negara ini, tetapi juga berperanan sebagai medium ekspresi seni,” katanya dalam satu kenyataan.

Acara berkenaan dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Seni, dan Kebudayaan, Khairul Firdaus Akbar Khan; Pengarah Kanan Pelancongan Malaysia Wilayah Tengah, Sufian Zainuddin dan Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Dasar (Kebudayaan MOTAC), Datin Salida Ibrahim.

Bkay Nair berkata, pertunjukan fesyen itu bukan sahaja untuk mempromosikan kelestarian budaya tetapi juga memperkasakan artis tempatan, pereka dan penenun.

Katanya, pertunjukan fesyen itu juga adalah satu refleksi mendalam identiti budaya kami, sebuah gerakan budaya, satu bukti semangat kreatif yang berterusan dan demi memberi penghargaan kepada artis yang menenun kepelbagaian warisan.

“Melalui acara ini, kami berharap dapat membawa keunikan warisan kami kepada UNESCO.

“Pengiktirafan yang diberikan UNESCO berpotensi untuk menerangi harta seni dan budaya negara kita di peringkat global dan mempersembahkan kepada ibu kota fesyen terkenal seperti Paris dan seluruh Eropah,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Penjawat awam ditahan buat buat komen jelik 3R di Tiktok

SEORANG penjawat awam ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung komen jelik melibatkan 3R (agama, bangsa dan raja) yang...

Lagi Artikel Berkaitan