SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menjangkakan lebih 70 peratus pengundi keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, esok.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, jangkaan tersebut adalah berdasarkan tren keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini.
“Kalau kita melihat tren yang terkini dam berharap supaya di Parlimen Pulai ini akan dapat melebihi 70 peratus, sebab apa yang sebelum ini agak rendah, begitu juga di DUN Simpang Jeram.
“Kita menyeru kepada semua pengundi dapat keluar mengundi esok. Jangan lupa menjaga kad pengenalan masing-masing, jangan diberi kepada orang tertentu supaya proses pengundian esok dapat berjalan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan dan semakan akhir SPR bagi PRK Parlimen Pulai di Bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru, Johor, hari ini.
Abdul Ghani dalam pada itu menasihatkan pengundi supaya keluar mengikut masa mengundi yang digalakkan suruhanjaya tersebut.
“Pikullah tanggungjawab, semangat kepada kita memilih pemimpin yang kita harapkan memimpin kawasan masing-masing,” jelasnya.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, keputusan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram akan diperoleh lebih awal.
“Kita mengharapkan sebab apa yang sudah (PRN) dapat keluar keputusan agak awal. Yang ini insya-Allah jika tiada apa-apa aral, selepas Isyak kita dapat keluarkan keputusan,” katanya. – Edisi 9