30.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 29, 2023

Maximus Ongkili alami gangguan kesihatan, sukar berkomunikasi

Mesti Baca

PRESIDEN Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menghadapi kesukaran berkomunikasi berikutan gangguan kesihatan yang dialaminya sejak beberapa bulan lalu.

Perkara itu dijelaskan Timbalannya, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang mewakili Maximus untuk menyampaikan ucapan dasar presiden pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-38, di sini, semalam.

Penjelasan itu sekali gus merungkai persoalan mengenai keadaan sebenar bekas Ahli Parlimen Kota Marudu itu yang mendiamkan diri sejak beberapa bulan lalu termasuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan parti.

Maximus turut hadir pada majlis itu bersama Penasihat Perdana PBS yang juga bekas presiden parti itu, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Dr Joachim berkata, disebabkan keadaannya itu, Maximus meminta maaf kepada perwakilan dan semua ahli PBS kerana tidak dapat berkomunikasi dengan mereka.

Namun begitu, Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, keadaan kesihatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak) itu kini semakin baik.

“Tahap kesihatannya semakin baik dan ini dibuktikan dengan kehadirannya hari ini.

“Namun, beliau dengan rendah diri memohon jutaan kemaafan kerana masih tidak dapat berkomunikasi dengan baik dan meminta saya membacakan ucapan dasarnya,” katanya.

Terdahulu, Maximus tidak kelihatan dalam mana-mana program selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November lalu yang menyaksikan beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Marudu yang disandangnya selama enam penggal.

Sementara itu, dalam ucapan dasarnya yang dibacakan Dr Joachim, Maximus berkata, satu Jawatankuasa Semakan Perlembagaan PBS diwujudkan bagi menyemak semula perlembagaannya termasuk menstruktur semula persidangan perwakilan kepada tiga tahun sekali berbanding secara tahunan ketika ini.

Katanya, satu sayap baharu pergerakan parti untuk ahli wanita muda turut dicadang diwujudkan sebagai antara pembaharuan akan dilaksanakan PBS.

Terdahulu, Pairin yang juga pengasas PBS, menyifatkan cadangan kerjasama di antara parti itu dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan adiknya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan adalah sesuatu yang baik.

“Kita perlu melindungi hak Sabah dan amalan demokrasi serta masa depan.

“Saya fikir adalah sesuatu yang bijak jika dapat bekerjasama kerana kita ada kumpulan lain yang menyokong niat kita untuk memastikan hak kita dilindungi.

“Kerjasama bukan bermakna bergabung, apabila bekerjasama, kita bekerja bersama dengan niat baik, tidak mensabotaj tetapi saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Persidangan Perwakilan PBS kelmarin turut menyokong sebulat suara bersetuju membincangkan cadangan kerjasama dengan STAR dan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi PBS untuk melaksanakan perbincangan.

Sebelum ini, Jeffrey menyuarakan keterbukaan parti pimpinannya berbincang dengan PBS mengenai soal kerjasama kedua-dua parti berasaskan Kadazandusun Murut itu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16). -Edisi 9

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini

Kumpulan nasyid Aeydan enggan dibayangi Rabbani

MENYEDARI mereka dilahirkan sebagai anak-anak Rabbani, ramai beranggapan kumpulan nasyid Aeydan bakal menyambung legasi kumpulan itu. Namun begitu, ia membuatkan...

Lagi Artikel Berkaitan