KERAJAAN akan mengkaji semula undang-undang berkaitan hukuman kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah daripada perspektif yang berbeza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia merujuk kepada keberkesanan pendekatan berasaskan rawatan perubatan atau rehabilitasi yang telah digunakan negara lain dan mengkaji kebolehlaksanaan pendekatan tersebut di negara ini.
“Saya telah mempengerusikan Sesi Perbincangan Kajian Undang-Undang Berhubung Hukuman Mengenai Kesalahan Penyalahgunaan Dadah hari ini untuk membincangkan dan mendapatkan pandangan awal mengenai keperluan kajian undang-undang berhubung hukuman kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Walaupun kerajaan telah melakukan usaha yang terbaik dalam menangani isu ini, ia tidak dapat diselesaikan dengan berkesan, seterusya menjadi punca kepada isu sistemik lain seperti kesesakan penjara dan sistem keadilan jenayah yang terbeban,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Oleh itu, kata Azalina, beliau berpandangan bahawa pendekatan terhadap masalah dadah tersebut perlu dikaji dan dilihat semula selaras dengan perkembangan antarabangsa.
Justeru itu kata beliau, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) bersama-sama dengan agensi berkaitan akan menjalankan kajian undang-undang berkaitan hukuman tersebut.
“Kerajaan Perpaduan komited untuk memelihara kepentingan golongan-golongan berisiko tinggi seperti golongan terdedah (vulnerable groups), golongan miskin serta golongan belia yang mudah dipengaruhi.
“Isu penyalahgunaan dadah bukan sahaja isu jenayah tetapi sebagai satu isu kesihatan yang memberikan kesan kepada masyarakat dari segi ekonomi, kesihatan, dan sosial.
“Kerajaan berhasrat menggabungkan usaha semua pihak, termasuk agensi kerajaan, pakar-pakar, dan masyarakat sivil dalam usaha untuk mencari penyelesaian yang lebih berkesan,” katanya. – Edisi 9