APA yang sebenar rakyat marhaen perlukan? Menurut Teori Maslow, setiap manusia perlukan keperluan fisiologi iaitu makanan dan pakaian; keselamatan (pekerjaan) serta kasih sayang dan pemilikan (love and belongings).
Manusia juga perlukan esteem iaitu respect, self-esteem, recognition, strength, freedom) dan terakhir ialah self-actualization (keinginan untuk menjadi yang tertinggi boleh dicapai manusia).
Sekiranya keperluan (needs) yang paling dasar sekalipun belum terpenuhi dengan sepenuhnya maka selama itu rakyat marhaen akan tertinggal dan kemiskinan tegar tetap wujud.
Jadi, misi utama pemerintah (mana-mana pemerintah pun) ialah memenuhi keperluan asas rakyat.
Pada masa ini pembangunan infrastrukur Malaysia sudah memadai, hanya tinggal menambah baik infrastruktur jalan raya agar kesinambunganya (connectivity) menjadi lancar.
Penulis pernah menggunakan sistem pengangkutan awam (seperti LRT, MRT, Komuter) di Hong Kong dan Shanghai.
Kita mahu ke mana saja, mereka mempunyai kesinambungan yang kemas dan teratur. Mungkin ini sebagai keperluan kedua selepas keperluan pertama dipenuhi.
Salah satu hal penting ialah pendidikan. Selagi ramai rakyat yang tidak berilmu, boleh berfikir secara rasional (bukan emosi), maka selagi itu negara tidak boleh maju.
Pendidikan mestilah diberikan secara percuma kepada semua lapisan rakyat kerana pendidikan ialah sarana penting bagi meningkatkan pengetahuan rakyat agar mereka dapat menggunakan kemahiran berfikir bagi memajukan diri, persekitaran dan masyarakat.
Melalui pendidikan keperluan-keperluan lain dapat mereka jana apabila mereka dapat merasionalkan segala perkara.
Negara memerlukan rakyat yang berkualiti, sama ada dalam hal pendidikan atau akhlak supaya negara dapat maju dengan aman dan makmur.
Semoga negara kita tetap berada pada garisan yang betul dan menuju negara yang berkualiti.
Penulis adalah bekas pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).