RAYUAN penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon yang kini menanggung beban kos sara hidup mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Zaiton, 67, yang mengalami gejala hilang ingatan sementara akibat kemalangan jalan raya mengaku berada dalam kesusahan dan tidak tahu bagaimana untuk memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ekoran itu, Perdana Menteri telah mengutuskan Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi untuk memberi sumbangan kecil beliau kepada penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Menaruh Harapan’ itu.
“Saudara Farhan ketemu Ibu (Zaiton) untuk sampaikan salam dari pihak saya serta memberi sumbangan kecil kepada Ibu. Pihak JKM akan segera menyelesaikan bantuan warga emas kepada beliau, Insya-Allah,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Zaiton yang kini menumpang di rumah anak angkatnya di Ampang berkata, tawaran persembahan menyanyi sudah tidak banyak manakala perniagaan rendang yang diusahakan juga terhenti ekoran masalah kewangan.
“Saya tiada rumah, tiada harta, tiada anak, tiada ibu bapa dan tiada semuanya. Kasihan betul hidup saya,” katanya seperti dilapor media, kelmarin.
Semalam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan akan mempertimbangkan bantuan berkadar RM500 sebulan kepada penyanyi tersebut.
Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya akan cuba menyerahkan bantuan kepada Zaiton bermula Oktober atau November depan.
Zaiton juga mengeluh kerana permohonannya untuk mendapatkan bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur tahun lalu juga tiada khabar berita.
“Minta bantuan rumah pun tak dapat lagi, beginilah nasib saya. Apapun, saya hanya mampu berdoa serta berharap agar ada pihak daripada JKM dapat membantu… Tolonglah saya,” katanya. – Edisi 9