KADAR kebolehpasaran graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah mencapai 91.42 peratus dan merupakan antara yang tertinggi di negara ini.
Namun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar purata itu masih belum cukup dan perlu ditingkatkan kepada 95 peratus menjelang 2025.
Justeru itu, beliau telah mengarahkan KKDW dan agensi terlibat agar meningkatkan kebolehpasaran graduan bagi menarik lebih ramai pelajar khususnya belia meceburi bidang tersebut.

“Alhamdulillah, kebolehpasaran graduan bagi institusi TVET di bawah KKDW adalah antara tertinggi dengan purata 91.42 peratus graduan berjaya melanjutkan pengajian, menjadi usahawan atau bekerja dengan majikan dalam tempoh enam bulan selepas graduasi.
“Saya juga telah mengarahkan agar KKDW dan agensi yang terlibat agar meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET hingga ke 95 peratus menjelang 2025.
“Ia dengan mengadakan kerjasama rapat dengan pihak industri sebagai salah satu bentuk game changer yang baru ke arah mencapai hasil yang optimum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian penutup Program Sentuhan Kasih Desa @ Simpang Jeram: Mini Ekspo TVET dan Keusahawan Desa di Sungai Abong, Muar, Johor hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pendidikan TVET@KKDW menyediakan kemudahan yuran pengajian untuk program diploma dan sijil di institusi-institusi di bawah kementerian.
Oleh itu, golongan yang kurang berkemampuan disaran menyambung pengajian dalam bidang tersebut apatah lagi kos pengajian ditanggung sepenuhnya institusi-institusi tersebut.

“Bagi program diploma dan sarjana muda di German Malaysian-Institute (GMI) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pula, pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (Mara) atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ada disediakan untuk kemudahan pembiayaan pelajar.
“Selain itu, elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan turut disediakan kepada pelajar yang layak di institusi-institusi seperti Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Mara-Japan Industrial Institute (MJII), Intitut Kemahiran Mara (IKM), Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda-Tech), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Giatmara.

“Kemudahan asrama kepada pelajar juga disediakan di semua institusi-institusi pendidikan ini kecuali di Giatmara,” katanya.
Untuk rekod, pada tahun lalu sahaja, institusi pendidikan TVET@KKDW telah membuat pengambilan sebanyak 36,696 pelajar atau pelatih dengan enrolmen keseluruhan berjumlah 59,126 orang.
Bagi graduan secara keseluruhan pada 2022 mencapai jumlah sebanyak 27,580 graduan. – Edisi 9

