26.2 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

UMNO perlu perlu buat sesuatu jika tidak mahu pupus

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh ISHAM JALIL

UMNO telah kalah lagi semalam. Kali ini kalah teruk, hanya menang 19 kerusi daripada 108 kerusi yang ditandingi. Kita menang satu kerus di Kelantan, dua di Pulau Pinang, dua di Selangor dan 14 di Negeri Sembilan. Manakala 89 kerusi lain semua kita kalah.

Kita perlu berbuat sesuatu. Jika tidak UMNO akan terus kalah dan akan pupus terus menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Saya dan akar umbi telah berusaha sedaya upaya di bawah. Kini kepimpinan perlu membuat pertimbangan semula dan membuat keputusan.

Saya telah jelajah ke hampir seluruh enam negeri untuk berkempen, dan saya telah berdialog dengan akar umbi.

Di mana-mana saya pergi akar umbi kita rata-rata bertanya tentang tiga perkara: Pertama berkenaan DAP, kedua berkenaan Presiden, dan ketiga berkenaan Datuk Seri Najib Razak. Perkara-perkara ini adalah isu-isu utama di akar umbi.

Berkenaan DAP, saya telah kata sebelum ini bahawa perkara ini adalah amat sensitif kepada akar umbi kita.

Jika kita paksa akar umbi kita undi DAP, mereka akan bantah dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi, atau lebih teruk mereka protes dan undi Perikatan Nasional (PN). Ini yang telah berlaku di enam negeri ini.

Di Selangor, undi yang calon PN bertanding menentang calon kita, calon Pakatan Harapan (PH) telah mendapat undi lebih banyak berbanding ketika mereka bertanding di bawah tiket PKR dulu.

Ini bermaksud, bukan sahaja penyokong lama PKR menyokong mereka, namun orang UMNO pun mengundi mereka juga. Ini adalah satu tamparan hebat kepada UMNO.

Kita perlu selesaikan isu DAP ini. Sama ada kita terus bekerjasama dengan mereka dalam kerajaan dan pilihanraya, ataupun bekerjasama hanya dalam kerajaan dan bukan pilihan raya.

Dengan pilihan kedua itu, kita mungkin boleh membina semula parti kita dengan mengekalkan ideologi dan perjuangan kita.

Advertisements

Walaupun mula-mula mungkin kita kalah atau tidak menang besar, namun demikian dengan ini kita dapat kekalkan akar umbi kita dan sedikit demi sedikit memenangi semula hati rakyat.

Jika tidak, akar umbi kita akan lari ke parti lain, dan nasib kita akan jadi seperti pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Chow Kon Yeow mengibar bendera BN manakala Musa Sheikh Fadzir memegang bendera PH sebagai simbol kerjasama kedua-dua parti di Pulau Pinang.

Untuk mengejar 500 undi DAP, kita hilang 5,000 undi Melayu dan hilang akar umbi. Jika kita hilang akar umbi, parti kita akan mati. Ini tidak bijak malahan bahaya.

Berkenaan isu Presiden yang ditanya oleh akar umbi, saya telah jawab apa yang termampu di sesi-sesi dialog saya. Saya bukan orang Presiden, namun saya hormat institusi itu.

Saya mohon supaya YAB Presiden dapat berjumpa akar umbi sendiri sehingga ke peringkat bawah di akar umbi dan berdialog dengan mereka untuk menjernihkan yang keruh dan memperbaiki keadaan.

Berkenaan Najib, saya telah beberapa kali berkata bahawa jika beliau ada bersama kita berkempen, kita mempunyai peluang yang lebih cerah.

Namun Najib masih di dalam penjara sudah setahun kini, dan walaupun kita dalam kerajaan, belum lagi nampak keadilan untuk beliau.

Najib kerap kata kepada saya, dia bukan mahu kesnya digugurkan, dia hanya mahu mendapat perbicaraan yang adil.

Sehingga kini dia tidak dapat perbicaraan yang adil kerana ada hakim-hakim yang mengadili dan mensabitkan kesalahan kepadanya adalah berat sebelah dan ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kes yang diadili.

Saya telah cadang supaya kerajaan membenarkan tahanan di rumah untuk Najib sementara dia menjalani proses pengampunan atau perbicaraan semula atau sebagainya.

Saya harap kita melihat dan berusaha untuk memperbetulkan keadaan. Kita perlu melakukan sesuatu yang drastik, kerana kita kini berada di keadaan yang getir dan kritikal.

Jika kita tidak berbuat apa-apa, kita dan perjuangan UMNO akan lenyap di bumi Allah ini. Kita perlu bangun.


Dipetik daripada Facebook Isham Jalil. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian Edisi 9
Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan