25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

MAS tamat kerjasama dengan Brahim’s Holdings Bhd

Mesti Baca

SELEPAS melalui tempoh rundingan yang menyeluruh dan berpanjangan, Malaysia Aviation Group (MAG) dan Brahim’s Holdings Bhd akhirnya menamatkan kerjasama katering mereka.

MAG yang juga syarikat induk Malaysia Airlines Bhd berkata, ia telah menerima notis rasmi pemberhentian kerjasama itu pada 30 Jun lalu, namun Brahim’s kemudiannya bersetuju untuk melanjutkan perkhidmatan selama dua bulan berakhir esok.

“Pada November 2022, MAG meneruskan proses pembaharuan kontrak susulan pengembalian semula lesen bersyarat Brahim’s Food Services (BFS) oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“Matlamatnya adalah untuk membina cadangan perniagaan bersama yang memanfaatkan MAG dan BFS, sambil mengutamakan kepentingan pengguna,” kata MAG dalam satu kenyataan.

MAG berkata, ia akan terus meneroka pelbagai strategi untuk menjamin kemampanan perniagaan, termasuk bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) yang mempunyai reputasi, dengan berkongsi komitmen terhadap pengalaman penumpang premium dan perkhidmatan dalam penerbangan yang cekap di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kumpulan juga kekal teguh dengan komitmen untuk menyediakan pengalaman pelanggan premium menerusi pembekal dan penyedia perkhidmatan, malah berdedikasi untuk menjamin pengalaman yang terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, MAG berkata ia akan mengaktifkan pelan kesinambungan perniagaan (BCP) bagi perkhidmatan makanan dalam penerbangan untuk beberapa laluan terpilih di bawah Malaysia Airlines, berkuat kuasa pada 1 September 2023.

Advertisements

“Pengaktifan BCP ini menandakan penamatan warisan kerjasama perkhidmatan katering yang sebelum ini disediakan oleh BFS untuk laluan terpilih domestik dan antarabangsa rangkaian Malaysia Airlines.

“Sepanjang peralihan ini, Malaysia Airlines akan menyediakan F&B dalam penerbangan alternatif untuk laluan yang terkesan, bagi memastikan operasi tidak terganggu sambil meminimumkan sebarang potensi impak terhadap keselesaan dan pengalaman pelanggan.

“Laluan lain akan terus disediakan oleh penyedia sedia ada iaitu POS Aviation Sdn Bhd,” katanya.

MAG berkata, ia merancang dengan berhati-hati operasi katering kendiri di bawah Malaysia Airlines, termasuk menyumber item makanan siap dibungkus dan bekalan F&B daripada pelbagai penyedia, termasuk operator lounge syarikat itu, MAS Awana.

“Sementara itu, syarikat pengendalian darat MAG, AeroDarat Services, akan menguruskan proses penghantaran makanan ke dalam pesawat.

“Bagi memudahkannya, satu pusat pengagihan sementara telah ditubuhkan di KLIA, menepati standard keselamatan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Kementerian Kesihatan,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan