LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) bekerjasama dan melantik seramai 14 selebriti serta pempengaruh sebagai Rakan Strategik HASiL dalam memastikan pendidikan cukai dapat disebar luas dengan efisien.
Mereka yang dilantik menerusi Program Kesedaran Cukai Bersama Selebriti dan Pempengaruh bagi tahun 2023/2024 adalah Nurul Iman Abdul Rahim, Siti Hawa Mohd Nor, Nur Aliah Mohd Nor, Adzren Adnan, Ahmad Faiz Azmi dan Ahmad Fedtri Yahya.
Turut dilantik, Datuk Mohd Asri Ahmad, Dr Muhammad Shazril Shaharuddin, Ang Chun Leong, Hazama Ahmad Azmi dan Ahmad Nabil Ahmad, Muhammad Khairul Baharuddin, Sean Lee Jia Ern dan Ridzuan Haqiem Rusli.
HASiL dalam kenyataan berkata, pelantikan itu seiring dengan perkembangan pesat dan ledakan evolusi teknologi masa kini yang menjadikan segala maklumat boleh diakses lebih pantas melalui internet serta media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp, TikTok dan Telegram.
Selain itu katanya, ia bagi memastikan pendidikan cukai dapat disebar luas dengan efisien melalui inisiatif Awareness, Education And Services (AES) HASiL.
“Rakan Strategik HASiL yang dilantik terdiri daripada individu berbeza latar belakang antaranya dalam bidang lakonan, pengacaraan, nyanyian, perubatan, gaya hidup, pengurusan kewangan, pelaburan dan insurans.
“Pelantikan mereka sebagai ejen HASiL bertujuan untuk menyebarluas maklumat cukai yang sahih kepada orang ramai, memberikan pendidikan dan kesedaran cukai selain turut menjadi platform pelaksanaan tanggungjawab sosial selebriti serta pempengaruh kepada negara,” katanya.
Pelantikan 14 selebriti serta pempengaruh sebagai Rakan Strategik HASiL itu diadakan dalam satu sesi libat urus di sebuah hotel di Cyberjaya.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan berkaitan boleh menghubungi HASiL di Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat dan
Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public.