Friday, June 5, 2026

Sanusi diingatkan tidak mereka-reka cerita – Fahmi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan supaya tidak mereka-reka cerita berkenaan pertuduhan yang dihadapi selepas didakwa memperlekeh peranan insitusi diraja.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, tangkapan dan perbicaraan terhadap Muhammad Sanusi dibuat selepas Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) itu mempertikai lantikan Menteri Besar Selangor di sebuah ceramah di Selayang.

“Sanusi, kamu yang lepas cakap di Selayang. Jangan salahkan orang lain, atau buat cerita yang bukan-bukan,”katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Hantaran itu mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah itu yang mendakwa rancangan untuk menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya dirancang sejak enam bulan lalu.

Jelas Muhammad Sanusi, ini berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada rakan yang memberi amaran bahawa tindakan akan diambil susulan kritikan terbuka kepada pihak tertentu.

Semalam media melaporkan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, menafikan dakwaan Muhammad Sanusi tersebut.

Beliau berkata, tangkapan yang dibuat pada 18 Julai lalu berdasarkan kronologi siasatan kes dan laporan polis yang diterima kerana menghina Sultan Selangor.

Muhammad Sanusi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang 18 Julai lalu, didapati melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Bagi pertuduhan kedua di Mahkamah Sesyen berasingan, Muhammad Sanusi didakwa menghasut dengan mempertikaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Pilihan Raya PN itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh.

Nor Rajiah dan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh kemudian membenarkan Muhammad Sanusi diikat jamin dengan wang jaminan masing-masing sebanyak RM5,000 dan memerintahkan beliau tidak mengeluarkan komen mengenai kes ini sehingga kes selesai. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan