Thursday, June 4, 2026

Pencen pesara kerajaan dibayar guna amaun asal

Keputusan itu dibuat selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN memutuskan pencen dan pencen terbitan untuk pesara kerajaan bagi Julai hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu yang memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] adalah tidak sah.

“Ini bermakna, undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.

“Kerajaan membawa isu ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bagi mencari jalan penyelesaian untuk memastikan kebajikan pesara terus terbela.

“Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan pesara semasa berkhidmat dan prihatin dengan kebajikan pesara dalam situasi sekarang. Kerajaan juga akan mengkaji semakan gaji perkhidmatan awam dan ia akan turut melibatkan pesara-pesara perkhidmatan awam,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan tersebut Perdana Menteri menjelaskan, bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012 dan pegawai awam yang bersara mulai 2013 pula, bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.

Katanya, perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP).

“Ia bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023.

“Penyelarasan pencen akan dilaksanakan mengikut peratusan kenaikan yang telah ditetapkan selaras dengan Akta Penyelarasan Pencen 1980 [Akta 238].

“Hasil keputusan ini diharap dapat memberikan impak positif kepada kakitangan awam, pesara-pesara perkhidmatan awam dan kerajaan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan