28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Felda: Anwar tuntut Muhyiddin mohon maaf, ganti rugi RM200 juta

Mesti Baca

DATUK Seri Anwar Ibrahim menuntut supaya Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam berhubung pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Selain itu, beliau turut menuntut bayaran ganti rugi atau pampasan RM200 juta atas kecederaan teruk reputasinya sebagai Perdana Menteri,

Peguam, Datuk S.N. Nair yang mewakili Anwar berkata, permohonan maaf itu perlu disiarkan dalam akhbar-akhbar dan media pilihan anak guamnya serta memadamkan segala komen yang menyinggung perasaan dan bersifat fitnah.

Selain itu, Muhyiddin dituntut menarik balik surat tuntutan beliau.

“Pihak kami juga menuntut Muhyiddin membayar ganti rugi atau pampasan substantif sebanyak RM200 juta untuk kecederaan teruk yang dilakukan ke atas reputasi anak guam kami yang merupakan Perdana Menteri dan membayar segala kos guaman yang telah berbangkit daripada perkara ini.

“Oleh itu, kami telah diarahkan anak guam (Anwar) untuk menyatakan bahawa sekiranya anak guam kami tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat ini, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan perundangan terhadap Muhyiddin,” kata peguam itu menerusi surat yang dihantar kepada peguam mewakili Muhyiddin hari ini.

Advertisements

Nair ketika dihubungi Bernama berkata, surat itu dihantar pada 4.45 petang tadi.

Menurut Nair, pihaknya juga merujuk kepada surat tuntutan Muhyiddin bertarikh 18 Julai yang memberikan Anwar tempoh masa 24 jam untuk membalas surat tuntutan berkenaan.

“Harus ditegaskan bahawa anak guam kami (Anwar) telah memberi maklum balas kepada anak guam kamu (Muhyiddin) dalam tempoh masa yang telah diberikan dengan membuat satu kenyataan media bertarikh 20 Julai lalu menerusi hantaran Facebook.

Oleh itu, ia adalah satu salah tanggapan dan tindakan jahat oleh Muhyiddin untuk menyatakan kepada pihak media bahawa Anwar masih belum memberikan apa-apa maklum balas kepada dakwaan Muhyiddin,” kata Nair menerusi surat itu.

Menurut Nair, kandungan surat Muhyiddin mengandungi dakwaan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan itu telah membuat kenyataan fitnah terhadap Muhyiddin berhubung pelupusan Felda itu ketika berucap pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Serdang pada 7 Julai dan semasa dialog di Universiti Utara Malaysia pada 8 Julai.

“Hakikatnya, anak guam kami yang telah melupuskan hutang Felda berjumlah RM 8.3 bilion dan bukannya Muhyiddin,” kata Nair. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali...

Lagi Artikel Berkaitan