33.6 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

UMNO beri amaran kepada DAP tidak calonkan Tony Pua

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

UMNO hari ini memberi amaran kepada parti sekutunya dalam Kerajaan Perpaduan, DAP agar tidak mencalonkan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Amaran itu dilontarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki susulan tindakan bekas Setiausaha Publisiti DAP itu menggelarkan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’ dalam satu majlis malam tadi.

“Saya telah menghantar mesej protes kepada kepimpinan tertinggi DAP dan desak mereka untuk jangan sesekali meletakkan beliau sebagai calon dalam PRN akan datang jika mahu keharmonian gabungan Kerajaan Perpaduan Malaysia ini berkekalan.

“Lagipun beliau sendiri masih bermimpi di siang hari sehingga terlupa bahawa kerajaan hari ini bukan kerajaan PH (Pakatan Harapan) tetapi kerajaan gabungan besar BN, PH, GPS (Gabungan Parti Sarawak), GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan Warisan yang di dalamnya terdiri daripada 19 parti politik.

“Apa yang diucapnya hanya menyerlahkan kedangkalannya sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tony Pua yang secara ‘tiba-tiba’ menggelar BN yang kini bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan sebagai corrupt coalition atau ‘pakatan korup’.

Advertisements

Kenyataan dibuat sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya, malam tadi.

Kenyataan itu telah mencetuskan api kemarahan kalangan pemimpin UMNO. Antara yang mengeluarkan kenyataan dan amaran setakat ini ialah Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil.

Asyraf Wajdi berkata, walaupun Tony Pua bukan lagi pimpinan DAP, tetapi ucapan beliau itu bagaikan ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’.

“Hakikatnya, rakyat tidak pernah lupa tindak-tanduknya ketika di Kementerian Kewangan dalam kerajaan PH 22 bulanlah antara penyumbang utama hingga menyebabkan ekonomi dan kewangan negara yang hebat pada zaman BN memerintah dahulu, jatuh merudum hingga menyebabkan rakyat sengsara.

“Bahkan sehingga ke saat ini, walaupun 5 tahun lebih berlalu pun ekonomi negara masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya. Malaysia tidak segemilang dahulu!,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Balai polis Ulu Tiram diserang, dua anggota, suspek maut

DUA anggota polis maut manakala seorang cedera akibat ditembak dan ditetak seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis...

Lagi Artikel Berkaitan