25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Senarai hitam Jocelyn Chia daripada masuki Malaysia

Keluarkan kata kesat kepada Malaysia dan mempersenda kehilangan pesawat MH370 ketika membuat persembahan

Mesti Baca

PELAWAK Singapura, Jocelyn Chia yang secara biadab mempersenda kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 wajar disenarai hitam daripada memasuki negara ini.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman, Lukman Ismail berkata, pelawak itu juga turut bersikap biadab apabila mengeluarkan kata-kata kesat kepada Malaysia dalam satu persembahan yang mana videonya tular dalam media sosial sejak semalam.

Katanya, paling tidak boleh diterima apabila Jocelyn mempersenda kehilangan pesawat MH370 ketika ahli keluarga mangsa dan rakyat Malaysia masih berduka dengan tragedi itu walaupun sudah lama berlaku.

“Pelawak ini sangat biadap dan langsung tidak menghormati sensitiviti orang lain. Kalau tak ada bahan sekali pun nak buat lawak, usah bersikap kurang ajar seperti ini.

“Justeru, saya menyeru kepada kerajaan Malaysia agar menyenarai hitam nama pelawak ini daripada menjejakkan kakinya di negara ini. Biar dia mereput di pulau tersebut,” katanya hari ini.

Menerusi video itu, Jocelyn dilihat bertanya latar belakang seorang penonton yang hadir.

Sebaik penonton itu menyatakan dirinya dari Malaysia, Jocelyn terus mengeluarkan kata-kata kesat kepada penonton berkenaan.

Bukan setakat itu, Jocelyn turut membandingkan negara asalnya, Singapura dan Malaysia yang disifatkan jauh lebih ketinggalan daripada segi pembangunan.

“Selepas mendapat kemerdekaan daripada British, kami (Singapura) hanya negara kecil. Untuk bertahan, kami bergabung dengan negara lebih besar serta berkuasa, Malaysia.

Advertisements

“Ketika Perdana Menteri muncul di televisyen buat pengumuman kamu (Malaysia) membuang kami, beliau menangis kerana menyangka tidak dapat bertahan tanpa Malaysia.

“Selepas 40 tahun, kami jadi negara dunia pertama. Malaysia di mana kamu? Masih negara membangun? Booo…,” selorohnya ketika membuat jenaka berkenaan.

Difahamkan pelawak tersebut membuat persembahan di sebuah kelab komedi di New York, Amerika Syarikat manakala rakamannya dimuat naik ke media sosial kelab tersebut.

Lebih keterlaluan lagi apabila Jocelyn dilihat seolah-olah mempermainkan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370.

“Kini kamu Malaysia pula mengatakan ‘hey Singapura kamu hebat’. Kami tahu dan tanya kenapa sudah 40 tahun tidak melawat kami dan jawapannya ‘pesawat kami tidak boleh terbang.’

“Pesawat Malaysia Airlines hilang tak kelakar ke?” selorohnya yang disambut dengan hilai tawa penonton.

Lukman berkata, sebagai rakyat Singapura, beliau percaya Jocelyn juga tidak boleh terima jika ada pihak luar yang mempersenda dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada negaranya.

Katanya, pelawak itu jika seorang profesional, sepatutnya tahu batas dalam membuat jenaka terutama membabitkan sensitiviti pihak lain apa lagi melibatkan negara jiran. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan