25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Lelaki sado tunjal kepala pemandu wanita direman 3 hari

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LELAKI sado dalam rakaman video tular yang dipercayai menunjal kepala seorang pemandu wanita berhampiran Lata Iskandar dekat Tapah, direman selama tiga hari selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Tapah hari ini.

Perintah reman bermula Rabu sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 dan 509 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah dan perbuatan mengaibkan kehormatan.

Terdahulu, lelaki berkenaan yang berusia 29 tahun dan bekerja sebagai penyelia kilang itu diberkas di Serdang, Selangor.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan ke atas lelaki itu dibuat susulan laporan polis dibuat wanita berusia 24 tahun itu di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 5.33 petang ketika mangsa dan adik lelakinya berusia 17 tahun dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah.

Advertisements

“Wanita itu dikatakan mahu memotong sebuah kereta Proton Persona dipandu suspek namun gagal sebelum lelaki itu menunjukkan isyarat lucah berhampiran Lata Iskandar.

“Lelaki itu kemudiannya telah turun dari kenderaan dan mengetuk cermin kereta dipandu mangsa. Mangsa telah dimarahi dan dipukul di kepala selain diberikan ugutan,” katanya menerusi kenyataannya malam tadi.

Menurut beliau, semakan ke atas nombor pendaftaran kereta yang dinaiki lelaki itu mendapati ia didaftarkan atas nama seorang wanita yang beralamat di Tanjong Karang, Selangor.

Katanya, usaha mengesan suspek telah berjaya dibuat di sekitar kawasan Serdang.

“Sehubungan dengan itu, suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 325/506/509 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam, tular di media sosial video berdurasi 59 saat yang memaparkan seorang lelaki memarahi dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pemandu wanita sebelum menunjal kepala mangsa. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan