24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Tol: Kerajaan perhalusi kaedah pelaksanaan sistem MLFF

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN sedang memperhalusi kaedah pelaksanaan sistem kutipan tol secara Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) bagi memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, selaras dengan hasrat kerajaan bagi melaksanakan MLFF pada 2025, mod pilihan pembayaran kepada pengguna akan dipelbagaikan dan tidak terhad kepada satu skim penyedia pembayaran sahaja seperti sekarang.

“Ini secara tidak langsung akan membantu pengguna mengatasi isu kekurangan baki sewaktu melalui gantri di plaza tol dan seterusnya melancarkan pergerakan pengguna lebuh raya,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang meminta menyatakan sebab sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) masih mengalami masalah sehingga berlaku kesesakan di plaza tol dan perancangan kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Advertisements

Mengakui berlaku sedikit kekurangan terutama dari sudut teknikal ketika dalam proses menambah baik dan memantapkan sistem RFID, Abdul Rahman berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meminta syarikat pengendali lebuh raya untuk membuat pelarasan lebih kerap di lorong tersebut agar kecekapan dapat dipertingkatkan.

Beliau berkata, pengendali lebuh raya juga diminta membuat hebahan kesedaran kepada pengguna agar mempunyai baki mencukupi selain menyarankan pengguna agar menyemak baki eWallet sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan tiada gangguan ketika melakukan transaksi bayaran tol.

Menurutnya, palang tol bagi lorong RFID juga tidak dapat dibuka setakat ini bagi mengatasi masalah kesesakan kerana ia melibatkan isu perundangan dan hal-hal lain yang berkaitan. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan