KERAJAAN perlu mencari jalan tidak meneruskan monopoli kerana menyifatkan amalan itu tidak menguntungkan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persaingan perlu digalakkan kerana mampu menjamin keselesaan kepada rakyat secara umumnya di samping membantu ke arah pelaksanaan kos yang lebih rendah.
“Saya setuju pada prinsipnya, amalan monopoli tidak boleh diteruskan. Sebab itu, kita cari jalan.
“Air, umpamanya tiada monopoli kerana di bawah negeri; tenaga dengan IPP (pengeluar tenaga bebas) dan dengan pengurusan sekarang pun, nampaknya mula dipecahkan.
“Begitu juga dengan lebuh raya, tidak semua yang dibuat kerajaan dahulu kepada PLUS (PLUS Malaysia Berhad), jadi ada persaingan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang ingin mengetahui sama ada monopoli lain oleh kerajaan seperti dalam bekalan elektrik, air dan lebuh raya serta sekolah amanah di bawah Kementerian Pendidikan akan dipecahkan dengan semangat memecahkan monopoli.
Teradahulu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengkaji semula semua syarikat yang menikmati monopoli pada masa lalu sebagai usaha memastikan perkhidmatan ditawarkan lebih berdaya saing diwujudkan antara mereka.
Jelas Anwar, semua kementerian sudah diminta mengkaji syarikat monopoli sedia ada di bawah bidang kuasa mereka untuk menggalakkan pembangunan ekonomi yang telus serta persaingan yang adil. – Edisi 9