30.5 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Kanak-kanak pandu kereta belajar dari YouTube

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KANAK-kanak lelaki berusia enam tahun yang memandu sebuah kereta sejauh kira-kira 2.5 kilometer (km) sebelum kemalangan di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum Langkawi Selasa lalu dikatakan belajar cara memandu melalui YouTube.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, perkara itu dinyatakan kanak-kanak itu yang mendakwa tahu cara membawa kereta dengan melayari YouTube dan mengamati cara pemanduan bapanya.

Shariman berkata, siasatan turut mendapati tiada simulator digunakan untuk berlatih memandu di rumah kanak-kanak itu.

“Mengenai video tular mendakwa kanak-kanak tersebut berlatih menggunakan simulator di rumah, siasatan pihak polis mendapati tidak ada simulator di rumahnya.

“Gambar tular tersebut bukan gambar kanak-kanak yang memandu kereta Vios sehingga menyebabkan kemalangan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, setakat ini pihak polis telah merakam keterangan daripada ibu dan bapa kanak-kanak tersebut.

“Selain itu lima individu lain yang merupakan saksi kejadian juga telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Advertisements

“Mereka terdiri daripada tiga saksi di tempat kejadian, datuk kanak-kanak itu dan seorang lagi anggota polis yang tiba di tempat kejadian,” katanya.

Menurut Shariman, kanak-kanak tersebut juga akan dirujuk kepada Pusat Temuduga Kanak-Kanak (Child Interview Centre – CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah untuk mendapatkan keterangan menyeluruh.

Beliau berkata, kertas siasatan hampir siap dan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri di Alor Setar sebaik pihak polis menerima laporan perubatan daripada hospital.

Sebelum ini media melaporkan, dua beradik ditemukan orang awam di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios selepas terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada jam 11.15 malam Selasa.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak berusia enam tahun mengalami kecederaan luka di bahagian dagu manakala adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Selepas itu, tular pula video mengaitkan seorang kanak-kanak lelaki bermain simulator kereta lumba adalah kanak-kanak sama memandu kereta di Langkawi sebelum dinafikan sendiri ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akibat tindakan bodoh, Harimau Malaya hilang pemain tonggak

AKIBAT tindakan bodoh oleh individu tertentu, skuad kebangsaan kehilangan pemain tonggak bagi mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027,...

Lagi Artikel Berkaitan