Tuesday, July 21, 2026

Rumah terbuka PM beri manfaat kepada rakyat, negeri

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MAJLIS Rumah Terbuka Malaysia Madani yang akan diadakan di Kedah, Kelantan dan Terengganu bakal memberi manfaat kepada rakyat dan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana majlis tersebut turut akan melibatkan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri berkenaan, selain penglibatan kerajaan negeri.

Beliau turut membidas kenyataan beberapa pemimpin pembangkang yang mendakwa penganjuran rumah terbuka bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai usaha meraih undi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Islam mengajar kita untuk bersangka baik tetapi kalau hati dan pemikiran dah disetkan untuk jadi negatif, maka apa yang orang lain buat semua tak kena, yang bagus diri sendiri sahaja.

“Bagus lah bila jamuan raya dibuat di negeri pimpinan PAS, yang dapat manfaat bukan pemimpin PAS sahaja tetapi semua rakyat di dalam negeri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Dr Akmal berkata lagi, penganjuran majlis berkenaan di negeri-negeri di bawah pentadbiran pembangkang juga sebagai usaha Perdana Menteri untuk menafikan dakwaan negeri-negeri berkenaan dianaktirikan.

“Kalau tidak dibuat, dikatakan kerajaan Pusat buat negeri ini macam anak tiri walaupun peruntukan Pusat kepada negeri ini antara yang terbanyak berbanding negeri lain.

“Jamuan raya ni mcm sedekah juga lah, macam yang Tuan Guru beritahu sedekah tak apa, bukan rasuah,” katanya.

Semalam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi kenyataan berkata, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Majlis yang sama juga akan dilaksanakan kerajaan Negeri masing-masing iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dihadiri Anwar.

JPM mensasarkan 25,000 rakyat akan menghadiri rumah terbuka di Kedah manakala di Kelantan dan Terengganu masing-masing seramai 15,000 orang.

-EDISI9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan