KONSEP ‘Rahmah’ yang diperkenalkan Kerajaan Madani didakwa merupakan cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim memaklumkan, beliau hairan apabila konsep tersebut digambarkan sebagai idea asal Perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Hari ini kita dengar ‘Rahmah’ sebagai slogan yang ditampal dibanyak perkara, benda dan aktiviti kerajaan. Setakat yang saya dapat senaraikan dibawah Payung Rahmah seperti Menu Rahmah, Baju Raya Rahmah, Bazar Ramadan Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah, Tol Rahmah, e-Tunai Belia Rahmah dan kini Simen Rahmah.
“‘Rahmah’ telah dan sedang digambarkan sebagai ‘idea’ Anwar Ibrahim di bawah konsep Madani. Bagi saya naratif ini satu kesilapan yang menjolok mata, malah ia jatuh ke tahap pembohongan intelektual yang melampau dan tidak tahu malu,” katanya melalui hantaran di Facebook pada hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan konsep itu mula diperkenalkan oleh Dr. Mahathir dan disebut dalam ucapan perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 Februari 2020.
“‘Rahmah’ bermula oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Lebih tepat lagi, gagasan baharu ini disebut oleh Mahathir dalam ucapan perasmian Tilawah & Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020.
“Dalam ucapan Tun, beliau menjelaskan apa itu Gagasan Rahmah. Saya petik sedikit ucapan itu disini.
“Seiring dengan falsafah tersebut, pada 25 Oktober 2019, Kerajaan bersetuju agar gagasan Rahmah dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia berteraskan Maqasid Syariah dan Rahmatan Lil ’Alamin – yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni, bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia sendiri.
“Jelas sekali, ‘Rahmah’ sudah bermula sejak Tun Kembali menjadi Perdana Menteri bagi kali ke-2. Ia sebuah gagasan baharu yang diikat dengan satu pelan tindakan untuk menjadikan ianya sebagai satu dasar negara. Dalam konteks ini, gagasan Rahmah diikat dengan ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’ (WKB 2030),” jelasnya.
Katanya, kerajaan Madani boleh memperbetulkan naratif tersebut jika mereka mahu.
“Kesimpulannya, naratif ‘Rahmah’ ini sebenarnya bukan cetusan idea kerajaan Madani apatah lagi Anwar Ibrahim seperti yang digembar-gemburkan,” ujarnya. – Edisi 9