31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

KJ masih ada rasa benci dan marah – Mohd Puad

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TINDAKAN bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berterusan membawa suara hati menerusi rakaman podcast jelas menampakkan rasa benci dan marah yang memuncak kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Razak serta UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, terbaharu, Khairy dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dalam rakaman podcast Keluar Sekejap membangkitkan soalan-soalan provokatif yang mereka sendiri jawab.

“Tetapi soalan provokatif itu sebenarnya diyakini suara hati nurani mereka berdua yang mahu perkara itu berlaku.

“Mereka macam suka jika Anwar tendang Barisan Nasional (BN) keluar dari Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi Facebooknya.

Mohd Puad berkata, bagi Khairy, tanpa BN Anwar masih menjadi Perdana Menteri kerana sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, Khairy mendakwa Anwar masih mempunyai 118 kerusi majoriti mudah dan bekas menteri Kabiney itu seolah-olah menasihati Anwar bahawa tidak menjadi masalah sekiranya Presiden PKR itu menjadi Perdana Menteri kerajaan majoriti lemah.

Sehubungan itu Mohd Puad meminta Khairy memberi pandangan beliau bagaimana mahu memastikan wujud kerajaan yang lebih stabil pada masa depan.

“KJ macam suka kerajaan bertukar tangan lagi. Agaknya dia mencari jalan pintas untuk politiknya.

“Tetapi apa yang mahu dihairankan dengan KJ. Dia bercakap soal “kos politik”. Apakah kos kerajaan majoriti lemah lebih baik? Apakah kerajaan majoriti lemah tidak terdedah dengan ugutan?,” katanya.

Advertisements

Dakwa Mohd Puad lagi, Khairy seolah-olah menganggap Anwar menjadi tebusan kepada Zahid.

“Dia mengandaikan Anwar berkata enough is enough (cukup-cukuplah). Saya tidak mahu jadi tebusan Wak Zahid. Saya cukup tanpa UMNO. Segalanya terpaksa dihalalkan.

“Apa yang dihalalkan? Apakah pengampunan diraja haram? Apakah lantikan politik GLC pun haram? UMNO tidak buat perjanjian bertulis isu pengampunan untuk tubuh kerajaan,” katanya.

Mohd Puad berkata, jika Khairy begitu prihatin soal halal-haram, kenapa beliau sanggup bersekongkol menghalalkan penggantungan Parlimen dan kerajaan darurat oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sedangkan, katanya, tiada negara lain yang melakukan tindakan tersebut walaupun berdepan pandemik COVID-19 yang lebih parah.

“KJ dakwa soalannya, soalan budak nakal. Dia bukan nakal. Dendamnya belum habis. Dia gagal kalahkan Zahid. Dia gagal jadi Presiden. Dia terlepas peluang jadi Perdana Menteri umur 40 tahun.

“Kini naratif KJ ialah asalkan bukan UMNO,” ujar beliau.

Untuk rekod Khairy telah dipecat daripada UMNO manakala Shahril digantung keahlian pada Januari lalu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan