25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ganggu isteri orang, dua lelaki parah ditetak

Polis giat mengesan seorang lelaki iaitu H S Heranpal Singh, 45, suami kepada wanita terbabit untuk membantu siasatan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

GARA-gara cuba mengganggu isteri orang, dua lelaki cedera parah akibat ditetak dalam kejadian yang berlaku di Jalan Mutiara Raya, Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

Mangsa melibatkan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 23 tahun masing-masing mengalami kecederaan parah di tangan serta belakang leher.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian itu diterima pihak polis pada pukul 4 pagi selepas Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menerima makluman daripada anggota ronda cegah jenayah Balai Cheras mengenai kes pergaduhan dan tetak menggunakan parang.

“Bertindak atas maklumat, polis telah menahan seorang wanita berusia 39 tahun di sekitar Cheras kira-kira pukul 7.30 malam, hari yang sama untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal dipercayai kes bermotifkan mangsa yang dikatakan cuba mengganggu wanita terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, polis giat mengesan seorang lelaki iaitu H S Heranpal Singh, 45, yang juga suami kepada wanita terbabit untuk membantu siasatan.

Tambahnya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” ujar beliau. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan