27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

6 kluster: Guru, pelajar disaran buat saringan Covid-19

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menyarankan kepada sektor pendidikan untuk melakukan saringan kepada pelajar, guru dan kakitangan susulan terdapat enam kluster Covid-19 membabitkan warga Kementerian Pendidikan (KPM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhannya, 11 daripada 18 kluster Covid-19 yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ketujuh 2023 (ME 13/2023) dari 26 Mac hingga 1 April, adalah kluster pendidikan.

Menurutnya, bagi enam klusteri di bawah institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tiga kluster dicatatkan di kolej dan masing-masing satu di sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah.

“Lima kluster lagi adalah kluster pendidikan lain iaitu empat di maktab dan satu membabitkan taman asuhan kanak-kanak (Taska).

“Peningkatan kes dan kluster Covid-19 pada ketika ini berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac 2023.

“Peningkatan kes ini juga disebabkan oleh pergerakan masyarakat yang banyak sewaktu musim cuti sekolah lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisements

Susulan itu ujar beliau, sektor pendidikan disaran untuk menjalankan saringan bergejala terhadap pelajar, guru dan kakitangan sebelum masuk ke kawasan sekolah atau institusi serta menjalankan ujian RTK-Ag ke atas murid, guru, dan kakitangan mengikut strategi pengujian Covid-19.

Selain itu menurut beliau, ibu bapa juga perlu memantau status kesihatan anak dan bertanggungjawab untuk tidak menghantar mereka ke sekolah sekiranya bergejala serta menjalankan penilaian risiko penularan jangkitan Covid-19 di institusi masing-masing dari semasa ke semasa agar tindakan pencegahan segera diambil.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut mengingatkan pegawai kesihatan daerah agar kes positif yang dilaporkan pihak sekolah atau institusi pendidikan perlu disiasat dan dijalankan penilaian risiko untuk menilai status penularan jangkitan selain tindakan pembersihan dan disinfeksi serta pengesanan kontak perlu dijalankan.

Selain itu, orang ramai juga disaran untuk terus mengamalkan TRIIS [Test (Uji), Report (Lapor), Isolate (Asing), Inform (Maklum), and, Seek (Dapatkan rawatan)] bagi mengawal penularan Covid-19.

Dalam perkembangan kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata jumlah kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 24.1 peratus pada ME 13/2023 berbanding ME 12/2023 dengan kumulatif kes baharu sebanyak 5,052,337 kes manakala 5,004,546 bagi kes sembuh.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan