POLIS mengesahkan kejadian pergaduhan yang berlaku di tengah jalan sebagaimana video tular di media sosial berpunca daripada kemalangan melibatkan dua buah lori di Jalan Pelabuhan Barat, Klang, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, semakan dijalankan mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 petang.
“Sehingga kini pihak polis tidak menerima sebarang aduan ataupun laporan polis berkenaan kejadian tersebut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan gaduh gempar di tempat awam yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh enam bulan atau denda sehingga RM1,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelasnya, semakan juga mendapati individu yang terlibat telah membuat laporan kemalangan di Balai Polis Trafik IPD Klang Selatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. – Edisi 9